Categories
SELANGOR

LZS tampil bantu mangsa kebakaran Taman Gemilang

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan bantuan segera kepada keluarga mangsa kebakaran di Taman Gemilang, Dengkil, semalam.

Dalam kenyataan media, LZS memaklumkan sumbangan RM8,000 disalurkan segera selepas menerima makluman daripada Jawatankuasa Bencana Daerah.

“Amil Zakat Selangor Sepang bergegas ke tempat kebakaran di Taman Gemilang Dengkil yang membabitkan tiga buah rumah dalam kejadian, semalam.

LZS KEBAKARAN“Sangat menyedihkan, kejadian ini meragut nyawa seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun. Semua ahli keluarga mangsa yang lain selamat termasuk seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun.

“LZS menyalurkan bantuan segera RM3,000 kepada satu keluarga. Mereka bukan asnaf fakir miskin,” katanya.

Sementara itu, satu lagi keluarga adalah asnaf miskin berdaftar dengan LZS menerima bantuan RM5,000.

LZS turut memberi bantuan sewa rumah kepada asnaf terbabit bagi mendapatkan kediaman lain yang lebih selesa.

“Semua keluarga ini di tempatkan sementara di dewan berhampiran dengan penyeliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi berkaitan. Terima kasih Pembayar Zakat,” katanya.

Semalam, seorang kanak-kanak ditemui rentung dalam kebakaran di kawasan perumahan Taman Gemilang, Dengkil, awal pagi.

Kebakaran kira-kira 4.27 pagi itu melibatkan tiga rumah teres setingkat dan sebuah rumah terbakar hampir keseluruhannya manakala rumah di kiri dan kanannya masing-masing terbakar 50 peratus.

-nR-