Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MAIS beri penulis blog 24 jam mohon maaf fitnah Sultan Selangor

SHAH ALAM, 10 MAC: Pengerusi MAIS, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa mendesak dua penulis blog membuat permohonan maaf secara bertulis kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah atas kenyataan berbaur fitnah terhadap baginda.

Mohamad Adzib berkata, pihaknya turut menyangkal laporan dua blog yang mendakwa Sultan Sharafuddin terbabit dalam tuntutan saman MAIS terhadap syarikat Redha Resources Sdn Bhd di mahkamah, baru-baru ini

“Artikel dipaparkan blog ‘Another Brick in The Wall’ bertajuk ‘Selangor Royal Default’ yang disiarkan pada 6 Mac lalu serta artikel blog ‘Rocky’s Bru’ bertajuk ‘While the Agong Makes Headlines’ yang disiarkan pada 7 Mac lalu membangkitkan rasa marah dan benci terhadap institusi diraja juga pihak berkuasa agama Islam negeri.

Y.A.D. DATO' SETIA HAJI MOHAMAD ADZIB BIN MOHD ISA Pengerusi MAIS. Pejabat Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor.

“Kami juga mendapati kandungan artikel itu menyentuh secara langsung fakta kes yang masih dalam prosiding mahkamah selain memberi gambaran yang tidak benar terhadap baginda,” katanya dipetik BERNAMA dalam satu kenyataan, semalam.

Mohamad Adzib berkata, pihaknya turut mendesak penulis blog terbabit menarik balik laporan itu selain tidak mengulangi kesalahan sama yang disifatkan bertujuan meruntuhkan kepercayaan rakyat Selangor terhadap kredibiliti Sultan Sharafuddin dan MAIS.

“Kami menyeru penulis blog dan artikel berkenaan untuk menghentikan tohmahan serta menarik balik artikel itu dalam tempoh 24 jam dari tarikh kenyataan media MAIS ini dikeluarkan.

“Permohonan maaf juga perlu disiarkan dalam dua akhbar harian tempatan berbahasa Melayu dan Inggeris serta akujanji daripada penulis blog itu,” katanya.

Mohamad Adzib berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk menggunakan segala peruntukan undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap mereka jika penulis blog terbabit gagal mematuhi tuntutan MAIS ekoran kenyataan fitnah yang disebarkan itu.

-NFN-