Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Hampir RM10 juta didik warga Shah Alam urus sampah

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memperuntukkan hampir RM10 juta dalam usaha melahirkan masyarakat celik pengurusan sisa pepejal dan sampah domestik.

MBSA ZaharinDatuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, ia termasuk program pengedaran tong sampah beroda (Mobile Garbage Bins-MGB) kepada penduduk di kawasan pentadbiran MBSA.

Katanya, lebih 900 tong MGB 120 liter (l), 495 tong MGB 660l dan 43 ‘Leach Bin’ bakal diedarkan secara percuma dan berperingkat kepada penduduk.

“Walaupun membabitkan peruntukan agak besar tetapi MBSA sedia berbelanja bagi menambah baik pengurusan sisa pepejal dan sampah dalam kalangan masyarakat.

“Usaha ini juga diyakini mampu meningkatkan peratus kitar semula seterusnya mencapai matlamat Shah Alam ke arah Bandar Raya Sifar Sampah (Zero Waste) dan Bandar Rendah Karbon, menjelang 2030,” katanya.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Pengedaran Tong Sampah Secara Percuma Kepada Penduduk Bandar Baru Sungai Buloh, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Khairuddin Othman dan Timbalan Datuk Bandar, Shukri Mohamad Hamin.

Majlis menyaksikan 211 tong sampah MGB 120l diedarkan kepada penduduk Bandar Baru Sungai Buloh Fasa 3.

-NFN-