Categories
SELANGOR

Majlis pecah tanah BN cuma tinggal cangkul, papan tanda

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 MAC: Jambatan ketiga Sungai Klang adalah salah satu lambang kepada amalan tidak bertanggungjawab Umno-Barisan Nasional (BN) dengan menaburkan pelbagai janji yang akhirnya tidak ditepati.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, bagaimanapun janji membina jambatan ketiga Sungai Klang yang dibuat Umno-BN itu akhirnya dilaksanakan Kerajaan Pakatan Selangor.

“Janji kerajaan BN pada 2008 nak bina Jambatan Ketiga Klang tetapi selepas pilihan raya 8 Mac 2008 tsunami politik mereka kalah walaupun mereka dah buat pecah tanah.

“Pada waktu itu mantan Menteri Besar, Dr Khir Toyo bersama Datuk Seri Samy Velu, pemimpin MCA dan seluruh kuncu-kuncunya buat pecah tanah tetapi jambatan tidak muncul yang tinggal hanyalah cangkul-cangkulnya dan papan tandanya.

“Namun Kerajaan Negeri laksanakan projek ini dengan peruntukan lebih RM200 juta di kawasan Sungai Pinang. Janji kita buat jambatan ketiga ditepati dan cangkul yang dicampak BN kita kutip dan kita bina,” kata Suee Lim.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul menyembah ucapan terima kasih di atas titah ucapan DYMM Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Suee Lim turut menggesa Kerajaan Negeri supaya menjemput ADN pembangkang pada majlis perasmian Jambatan Ketiga Sungai Klang yang dijangka pada April atau Mei ini.

‘Jemputlah Sungai Burong dan kuncu-kuncunya datang supaya turut serta dan dia boleh tengok cangkul yang dia campakkan dahulu, selepas itu kita boleh simpan dalam muzium,” katanya.

=EZY=