Categories
SELANGOR

MB: Ambil sikap peduli dan sayangi haiwan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 23 MAC : Kerajaan Negeri menyarankan supaya masyarakat di negeri ini menyokong hasrat badan bukan kerajaan SPCA Selangor untuk menerajui inisiatif kebajikan haiwan jalanan di seluruh negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, usaha itu perlu dizahirkan secara konsisten melibatkan sokongan semua pihak agar matlamat asal penubuhannya dapat direalisasikan.

“Ia inisiatif yang cukup baik supaya pemilik dan masyarakat lebih peka terhadap isu haiwan ini.

“Rakyat perlu ada sikap peduli dan sayang kepada haiwan dan kita di pihak Kerajaan Negeri harus menerajui usaha positif ini,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri kini bersedia untuk melaksanakan pendekatan lanjutan sebagai kaedah untuk memberi pendidikan kepada masyarakat awam seluruh negeri.

“Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan bekerjasama dengan SPCA Selangor untuk melihat bagaiamana usaha ini dapat dijayakan lagi di peringkat semua kawasan negeri Selangor,” katanya.

Mohamed Azmin bercakap kepada pemberita selepas hadir pada Program Pelancaran Kempen Stray Free Selangor (SFS) di Shah Alam Convention Centre (SACC) di sini, pagi ini.

Terdahulu, kempen SFS diwujudkan SPCA Selangor itu dilaksanakan sebagai inisiatif ke arah memupuk kesedaran umum terhadap populasi haiwan jalanan di negeri ini.

SPCA didukung sepenuhnya, DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin selaku Penaung Diraja bagi pertubuhan itu.

=EZY=