Categories
SELANGOR

MB: Bank diseru bantu pembeli rumah pertama

OLEH ERMIZI MUHAMAD

RAWANG, 4 MAC : Pihak bank disaran membantu menyelesaikan kemelut pinjaman pembiayaan perumahan membabitkan pembeli rumah kediaman kali pertama di negara ini, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau merujuk situasi 1997, ketika era perbankan negara berada pada landasan terburuk, memaksa rakyat membantu meringankan situasi tersebut menerusi penubuhan Pengurusan Dana Harta Nasional Berhad.

Beliau berkata, usaha tersebut dijalankan sebagai kaedah untuk menampung kerugian susulan keisis kewangan Asia yang turut memberi kesan besar kepada pertumbuhan ekonomi negara serantau ketika itu.

“Kemelut kewangan asia 1997 mendesak Kerajaan Persekutuan untuk tubuhkan Pengurusan Dana Harta Berhad bagi bantu pulihkan kewangan bank tempatan.

“Ini bermakna ketika bank tempatan sedang mengalami krisis, rakyat diajak untuk bersama-sama bantu ringankan beban bank tempatan.

“Justeru saya menyarankan tatkala rakyat kni berdepan bebanan kos, pendapatan menguncup dan harga rumah semakin mahal, maka menjadi tanggungjawab bank untuk tampil bantu rakyat bagi mendapatkan pinjaman dengan cara lebih mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kegagalan pembeli mendapatkan pembiayaan pinjaman secara mudah dari bank-bank tempatan ketika ini.

Ini termasuklah 50 peratus daripada pemohon Rumah SelangorKu gagal menerima pembiayaan walaupun nama mereka sudah disenaraikan sebagai pembeli kediaman di bawah skim Kerajaan Negeri itu.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri memperkenalkan Skim Smart Sewa untuk membantu rakyat sederhana menyewa dan berupaya memiliki rumah di Selangor.

“Tempoh minima skim sewaan ini selama dua tahun dan maksima lima tahun yang mana penyewa mendapat 30 peratus sewaan mereka dan (wang tersebut) boleh dijadikan wang pendahuluan dalam pembelian Rumah SelangorKu.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga turut membantu menerusi tambahan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi memperluaskan Skim Smart Sewa ini,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin berucap pada Majlis Pelancaran Pelancaran dan Pendaftaran Rumah SelangorKu Setia Eco Templer di sini, hari ini.

=EZY=