Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Tangani isu Malaysia-Korea Utara secara diplomasi

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyokong saranan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail supaya Kerajaan Persekutuan memberikan taklimat khusus kepada Ahli Parlimen bagi memastikan rakyat Malaysia di Korea Utara dapat pulang dengan selamat.

Katanya, sebarang saranan yang menyatakan bahawa mereka bukan tebusan adalah pembohongan kerana faktanya rakyat Malaysia di sana tidak bebas untuk meninggalkan Korea Utara walaupun membawa passport yang sah.

“Keselamatan warga Malaysia yang menjadi tebusan di Korea Utara adalah persoalan yang penting dan perlu ditangani secara bijaksana.

azmin-parlimen“Saya mendukung saranan Permatang Pauh supaya kerajaan segera memberikan taklimat kepada Ahli Dewan Rakyat menangani isu ini secara diplomasi,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata demikian ketika menyertai sesi perbahasan Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Yang Dipertuan Agong, di Dewan Rakyat.

Katanya, penyelesaian secara diplomasi itu penting selain menjangkakan reaksi balas ketika berurusan dengan negara seperti Korea Utara.

“Kita tidak boleh bertindak dengan tergopoh-gapah dan hanya mengambil tindakan balas yang bersifat reaksi kepada sesuatu hal buruk yang sudah berlaku.

“Ketika ini, kerajaan harus bertindak dengan cara yang paling berkesan demi memastikan warganegara kita selamat pulang,” katanya.

-NFN-