Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Tiada persetujuan pengambilalihan PPR Lembah Subang

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Rundingan pengambilalihan pengurusan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang antara Kerajaan Negeri dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) masih berjalan.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan kononnya persetujuan sudah dibuat, beliau menegaskan, beberapa isu berbangkit perlu diputuskan secara bersama demi kepentingan penduduk di kawasan itu.

“Memang sudah ada cadangan dalam mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan Jabatan Perumahan Negara yang telah menghantar wakil mereka untuk berbincang.

“Tetapi perbincangan masih berjalan kerana wujud beberapa perkara perlu diselesaikan dahulu dan dipersetujui bersama.

“Antaranya kita telah nyatakan bahawa Kerajaan Negeri sudah belanja hampir RM70 juta untuk penyelenggaraan kos itu.

“Jadi siapa yang akan tanggung kos yang sudah dibiayai Kerajaan Negeri sekiranya pengambilalihan itu dibuat? Perkara itu belum diputuskan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Menteri KPKT, Tan Sri Noh Omar yang memaklumkan pengambilalihan sudah dijalankan untuk tempoh 2017 ini.

Noh mendakwa kononnya Kerajaan Negeri gagal menguruskan isu penyelenggaraan Lembah Subang 1 yang memerlukan campur tangan Kementeriannya.

Membidas kenyataan Ahli Parlimen Tanjong Karang itu, Mohamed Azmin berkata Putrajaya sewajarnya menghormati lunas undang-undang sedia ada mengikut prosuder ditetapkan di peringkat Persekutuan dan Negeri.

“Kerajaan Negeri menegur KPKT kerana ketika rundingan masih berjalan, tetapi mereka sudah menceroboh masuk dengan membina pejabat pengurusan pembangunan tanpa kelulusan pihak majlis.

“Ini merupakan pencerobohan dan sewajarnya isu ini membabitkan pihak Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri dan ia perlu ikut proses dan peraturan yang mesti dipatuhi Kementerian,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Negeri sebelum ini memperuntukkan RM70 juta bagi menanggung kos penyelenggaraan lif, aspek keselamatan dan pembersihan setempat Lembah Bujang 1.

Terdahulu, sebanyak 3,004 unit Lembah Bujang 1 dibina sejak 1997 dengan kos RM109 juta.

=EZY=