Categories
KENYATAAN MEDIA

Naikkan semula peruntukan IPT, tambah jawatan tetap

OLEH PAKATAN HARAPAN

Sejak dua tahun kebelakangan ini pernah dilaporkan Universiti Malaya telah terjejas teruk akibat daripada pemotongan bajet di dalam belanjawan 2016 dan diikuti 2017 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak sehingga kemudahan institut pengajian awam (IPT) itu terabai dan terdapat beberapa orang pensyarah yang dipaksa untuk berhenti.

Beberapa hari lepas kita dikejutkan pula dengan laporan muka hadapan Berita Harian bertarikh 6 Mac bahawa Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) mendakwa hampir 6,000 orang pensyarah termasuk bertaraf profesor berhenti dan ditamatkan kontrak akibat kekangan kewangan.

Walau bagaimanapun, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menyangkal jumlah tersebut dan membetulkan jumlahnya sekitar 2,000 orang, termasuk mereka yang ditamatkan kontrak dan mereka yang pencen.

1. Namun bagi kami hal ini tetap merupakan suatu perkembangan yang menyedihkan kerana jelas pentadbiran PM Najib Razak tidak mampu mengawal selia wang negara untuk disalurkan secara secukupnya kepada kementerian-kementerian yang memerlukan. Sepatutnya lebih banyak jawatan tetap, berbanding kontrak dibuka di pusat pengajian tinggi.

2. Pada kami, semua ini terjadi disebabkan pemotongan peruntukan pendidikan dalam belanjawan persekutuan yang telah memberi impak yang sangat besar serta buruk. Hal ini juga turut memberi kesan kepada masa depan mahasiswa di universiti-universiti tersebut. Mahasiswa sebagai tunjang utama masa depan negara akan mengalami masalah kekurangan pensyarah yang berkaliber dan berpengalaman untuk mendidik mereka.

3. Malah keadaan ini turut akan memberi kesan daripada sudut ekonomi apabila masalah pengangguran dijangka semakin bertambah. Bilangan pengangguran yang semakin tinggi ini sangat membimbangkan negara. Agak sukar untuk diterima golongan bijak pandai negara yang membuat pelbagai penyelidikan dan pembangunan (R&D) kini tiada pekerjaan.

Sekarang hanya ada 32,000 pensyarah di universiti awam berbanding jumlah seramai 35,000 orang yang direkodkan sebelum ini.

4. Selain itu, secara keseluruhan, dilaporkan seramai 37,699 rakyat Malaysia diberhentikan kerja pada tahun lepas. Manakala bilangan penganggur kini dianggarkan melebihi 515,200 orang berbanding 490,300 tahun sebelumnya. Hal ini amat membimbangkan di dalam keadaan ekonomi negara yang agak merudum, diikuti kos sara hidup yang semakin tinggi.

5. Keputusan kerajaan untuk memotong peruntukan IPT secara terlalu drastik ini juga tidak sepatutnya dibuat dengan begitu mengejut. Jelas, kebanyakan IPT kini bergelut dengan masalah kewangan yang akhirnya akan menjadi beban yang terpaksa dipikul oleh siswa siswi daripada segi kekurangan pensyarah, kualiti pengajaran yang menurun serta kos pendidikan yang meningkat. Adakah yuran pendidikan IPT akan mengalami kenaikan dalam masa terdekat sebagai akibat?

6. Malangnya, kerajaan seringkali dilihat seolah-olah berlepas tangan dengan menyalahkan harga minyak mentah dunia sebagai punca pemotongan belanjawan, terutama belanjawan dalam bidang pendidikan. Namun bagi kami, alasan yang diberikan itu tidak boleh diterima kerana kewangan negara berada pada tahap yang terbaik sekiranya ditadbir urus dengan cara berhemah tanpa ada sebarang unsur rasuah. Malah timbul juga persoalan ke mana perginya hasil kutipan GST?

7. Justeru, bagi menyelesaikan masalah ini, kami menggesa kerajaan untuk menaikkan semula peruntukan kepada IPT dan mewujudkan lebih banyak jawatan tetap berbanding kontrak bukannya memotong bajet universiti tetapi menambah peruntukan untuk program-program yang tidak relevan.

PAKATAN HARAPAN

YB Nik Nazmi Nik Ahmad
Parti Keadilan Rakyat
(PKR)

YB Zairil Khir Johari
Parti Tindakan Demokratik
(DAP)

Faiz Fadzil
Parti Amanah Negara
(AMANAH)