Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Naikkan semula peruntukan IPTA

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 MAC: Pakatan Harapan menggesa Kerajaan Persekutuan untuk menaikkan semula peruntukan kepada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) serta mewujudkan lebih banyak jawatan tetap berbanding kontrak.

Dalam kenyataan media bersama Nik Nazmi Nik Ahmad (KEADILAN), Zairil Khir Johari (DAP) dan Faiz Fadzil (AMANAH) berkata, keputusan kerajaan untuk memotong peruntukan IPTA secara terlalu drastik sedangkan kebanyakan IPTA kini bergelut dengan masalah kewangan.

Katanya, hal itu akan memberi kesan kepada mahasiswa daripada segi kekurangan pensyarah, kualiti pengajaran yang menurun serta kos pendidikan meningkat.

Mereka turut bimbang sekiranya yuran dinaikan kesan daripada tindakan itu dalam masa terdekat.

pakatan harapan“Bagi kami, hal ini suatu perkembangan yang menyedihkan kerana jelas pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mampu mengawal selia wang negara untuk disalurkan secara secukupnya kepada kementerian memerlukan.

“Mahasiswa sebagai tunjang utama masa depan negara akan mengalami masalah kekurangan pensyarah yang berkaliber dan berpengalaman untuk mendidik mereka.

“Malah, keadaan ini turut akan memberi kesan daripada sudut ekonomi apabila masalah pengangguran dijangka semakin bertambah serta kegagalan dalam membuat pelbagai penyelidikan dan pembangunan,” katanya.

Sebelum ini, Universiti Malaya terjejas teruk akibat pemotongan bajet di dalam belanjawan 2016 diikuti 2017 yang dibentangkan Najib sehingga kemudahan IPTA itu terabai dan terdapat beberapa pensyarah dipaksa untuk berhenti.

Dalam laporan muka hadapan Berita Harian bertarikh 6 Mac lalu pula, Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) mendakwa hampir 6,000 pensyarah termasuk bertaraf profesor berhenti dan ditamatkan kontrak akibat kekangan kewangan.

Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan Tinggi menyangkal jumlah itu dan membetulkan jumlahnya sekitar 2,000 orang termasuk mereka yang ditamatkan kontrak dan pencen.

Ketika ini, terdapat 32,000 pensyarah di universiti awam berbanding 35,000 orang yang direkodkan sebelum ini.

“Secara keseluruhan, dilaporkan 37,699 rakyat Malaysia diberhentikan kerja tahun lalu dan bilangan penganggur kini dianggarkan melebihi 515,200 orang berbanding 490,300, tahun sebelumnya.

“Hal ini amat membimbangkan di dalam keadaan ekonomi negara yang agak merudum diikuti kos sara hidup semakin tinggi,” katanya.

-NFN-