Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor jadi kunci tarikh bubar Parlimen

OLEH NAZLI IBRHIM

SHAH ALAM, 10 MAC: Perdana Menteri dijangka menjadikan Selangor sebagai kunci untuk menetapkan tarikh pembubaran Parlimen sebelum membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ahli Parlimen Subang yang juga seorang pengamal undang-undang, R Sivarasa berkata, hal itu berikutan persempadanan semula yang cuba dilaksanakan di Selangor pada masa ini tidak dapat dijalankan apabila Kerajaan Negeri mencabar persempadanan semula oleh SPR di mahkamah.

“Kita tahu persempadanan semula SPR memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) tetapi proses ini tak dapat diteruskan pada masa ini kerana Kerajaan Negeri membawa perkara itu ke mahkamah. Oleh itu, perdana menteri terpaksa menunggu perbicaraan selesai untuk memastikan BN mempunyai kelebihan dalam PRU-14 nanti.

sivarasa“Bagaimanapun, itu hanya jika keputusan mahkamah memihak kepada SPR tetapi jika SPR kalah di mahkamah, Parlimen terpaksa dibubarkan tanpa adanya persempadanan semula.

“Jika perdana menteri ingin membubarkan Parlimen lebih awal pun boleh sebenarnya tetapi menggunakan daftar pemilih sedia ada tanpa membabitkan persempadanan semula dan ini tidak memberi banyak kelebihan kepada BN. Saya berpendapat beliau akan menunggu keputusan kes ini dahulu untuk bubar Parlimen,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, di sini, hari ini.

Katanya, kes Kerajaan Negeri mencabar syor persempadanan semula oleh SPR di mahkamah dijangka memakan masa agak panjang ekoran tidak mustahil turut membabitkan peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Turut berkongsi pendapat sama, peguam yang juga anggota Lawyers for Liberty, Farida Mohammad.

“Saya berpendapat, Kerajaan Negeri lain juga akan mengambil langkah sama jika Kerajaan Selangor menang dalam kes ini dan ia akan menyulitkan lagi BN untuk adakan persempadanan semula,” katanya.

Katanya, walaupun isu persempadanan semula turut berlaku di semua negeri tetapi Kerajaan Selangor adalah negeri paling ke hadapan membawa isu itu ke Mahkamah Tinggi.

-NFN-