Categories
SELANGOR

Pastikan pemaju patuh syarat pembangunan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM 29 MAC: Kerajaan Negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) sentiasa memastikan pemaju mematuhi segala syarat Kebenaran Merancang (KM) dan Pelan Bangunan (PB) diluluskan bagi mengelak tindakan perundangan dibuat ke atas pihak berkenaan.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, sehubungan itu sebarang pembangunan pemajuan perlu memperoleh kelulusan kebenaran merancang daripada PBT yang dinilai jabatan teknikal di peringkat kerajaan tempatan itu.

“Penguatkuasaan berasaskan perundangan sering dilakukan PBT mahupun Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” katanya menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua, Razaly Hassan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, masih terdapat projek tidak berlesen dibuat di tapak tanah pertanian berukuran kurang daripada satu ekar setiap satu yang mana ianya sukar dipantau kerana sering urusan tukar syarat tanah tidak dilaksanakan.

“Kesedaran pembeli juga perlu memandangkan mereka perlu memastikan pemaju berlesen dengan kementerian melalui penetapan syarat ditetapkan.

“Tindakan perundangan terhadap pemaju berlesen boleh dilaksanakan mengikut peruntukan terdapat di dalam Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966 (Akta 118) sekiranya mereka dengan sengaja atau tidak, melanggar syarat diluluskan,” katanya.

=EZY=