Categories
SELANGOR

Pelbagai produk berkualiti di Pesta Orkid dan Flora

SHAH ALAM, 17 MAC: Peminat pokok hiasan orkid berpeluang mendapatkan tanaman itu dari pelbagai spesis di Pesta Orkid dan Flora bertempat di Tapak Pasar Lama berhampiran Bazar Banting bermula hari ini sehingga 26 Mac depan.

Pengurus Pemasaran Best Event, Normazura Normahadzan berkata, pesta julung kali diadakan di Kuala Langat itu mensasarkan lebih 30,ooo pengunjung hadir sepanjang 10 hari pesta berlangsung.

Katanya, pesta itu juga dijangka dapat menarik pengunjung yang mahu mendapatkan pelbagai tanaman buah dan bunga dari serata dunia yang sukar didapati.

“Pengunjung juga boleh mendapatkan puluhan spesis herba, pelbagai jenis tanaman bunga, anak pokok, benih, baja dan tanah.

“Kita jamin, pengunjung pasti berpuas hati dengan kualiti serta harga yang kami tawarkan,” lapor Sinar Harian.

Penganjuran pesta dengan kerjasama Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) MPP Zon 17 itu turut mendapat penyertaan daripada ramai pengusaha pelbagai jenis produk.

“Bukan sahaja bunga, ada pakaian muslimah, baju kanak-kanak, tudung dan produk kosmetik,” katanya.

-nR-