Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Najib dahulu projek kroni berbanding Jeti Kuala Kedah

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 17 MAC: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sepatutnya mendahulukan kerja menaik taraf Jeti Kuala Kedah berbanding dua projek mewah St Regis Hotel dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC).

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dalam kenyataannya berkata, Jeti Kuala Kedah itu kerap mengalami kesesakan luar biasa hingga menyusahkan orang ramai dan pelancong asing.

Menurutnya, masalah itu diakui sendiri Exco Pelancongan Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid dalam laporan media tempatan.

“Perkhidmatan feri pula tidak mencukupi setiap kali musim cuti sekolah hingga ada yang tidur di terminal jeti.

JOHARI ABDUL“Pada akhir tahun 2015 pula, ribuan pelancong terkandas di Jeti Kuala Kedah dan Langkawi.

“Sebaliknya, Najib lebih mementingkan kroni apabila sanggup melabur RM380 juta kepada dua projek mewah demi kawan baiknya, Tan Sri Peter Sondakh,” katanya.

Johari menjelaskan, Kerajaan Persekutuan hanya memiliki pegangan 60 peratus walaupun membayar 90 peratus bagi kedua-dua projek mewah itu.

Sebaliknya Sondakh selaku peneraju Kumpulan Rajawali yang melaksanakan projek mewah St Regis Hotel dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) itu cuma berbelanja RM41 juta untuk mendapatkan pegangan 40 peratus.

Beliau mendakwa ia suatu pembaziran kerana dana sebesar itu boleh mengatasi masalah kesesakan jeti Kuala Kedah dengan melakukan kerja naik taraf, mengatasi masalah perkhidmatan feri dan sebagainya.

“Kerajaan membayar 90 peratus dalam kedua-dua projek itu manakala Sondakh cuma mengeluarkan RM41 juta untuk mendapatkan pegangan 40 peratus.

“Persoalannya mengapa Najib lebih berminat membantu Sondakh sedangkan pembangunan untuk rakyat di Kedah tidak diberi keutamaan,” katanya.

-nR-