Categories
PBT SELANGOR

Perangi rasuah, MPK kukuh nilai integriti

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KLANG, 1 MAC: Majlis Perbandaran Klang (MPK) terus memperkukuh nilai integriti pentadbirannya menerusi lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dalam kalangan anggotanya.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, usaha tersebut dilaksanakan sebagai komitmen memastikan pembentukan modal insan anggotanya dapat dilaksanakan secara bertanggungjawab.

“IBR memberi penekanan keada ikrar serta janji dibuat oleh kepimpinan dan seluruh warga MPK untuk menjunjung tanggungjawab serta akauntabiliti bagi menghindar daripada sebarang bentuk budaya rasuah.

“Amanah atau yang kini disebut sebagai integriti adalah satu elemen penting yang perlu ada dalam diri setiap penjawat awam khususnya warga kerja MPK.

“Sifat ini menjadi syarat utama dalam pentadbiran bersih, telus dan bertanggungjawab,” katanya ketika berucap pada pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah MPK di Auditorium Sultan Abdul Samad, hari ini.

Lafaz ikrar turut disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Selangor, Dato’ Wan Ramli Wan Abdullah dan Orang Besar Daerah Klang, Dato’ Setia Diraja Dato’ Abdul Ghani Pateh Akhir.

Sementara itu, Setiausaha MPK, Adi Faizal Ahmad Tarmizi mengetuai bacaan ikrar dengan disertai 80 kakitangan Kumpulan Pengurusan dan Professional serta 18 anggota lagi dari Ketua-Ketua Jabatan dan 24 Ahli Majlis MPK.

Dalam perkembangan itu, Mohamad Yasid berkata, IBR diharap mampu menjadi pengukur kepada komitmen sebenar pentadbirannya memerangi budaya rasuah.

“Menjadi harapan saya agar inisiatif ini dapat menjadi pemangkin paling kukuh dalam menghasilkan pentadbiran berintergriti dan bertangungjawab.

MPK merupakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kedua selepas Majlis Perbandaran Selayang(MPS) yang menandatangani ikrar beas rasuah bersama SPRM.

Inisiatif tersebut seiring komitmen pentadbiran Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini yang mahukan pentadbiran seluruh negeri ditadbir secara bersih dan bebas rasuah.

=EZY=