Categories
SELANGOR

Ancam keselamatan, Exco gesa Putrajaya selesai projek terbengkalai

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 MAC : Kerajaan Persekutuan diminta untuk tidak berdiam diri dan mengambil pendirian ‘lepas tangan’ membabitkan projek terbengkalai pembinaan pusat pembentungan di Jalan Pandan 5 dan Jalan Pandan 7, Ampang.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, pihaknya sudah membangkitkan masalah tersebut kepada Menteri berkaitan, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili agar isu tersebut diselesaikan segera.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang maklum balas positif sekali gus mengundang kebimbangan penduduk setempat berhubung status sebenar projek tersebut.

“Kita menggesa agar menteri mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah projek terbengkalai ini kerana ia mengancam keselamatan rakyat.

“Contohnya, lubang yang digali itu agak dalam dan telah dipenuhi air. Ini merbahaya kepada penduduk kerana lubang itu tidak dipagar dengan sempurna dan sesiapa sahaja boleh terjatuh dan kemungkinan berlaku kejadian mati lemas.

“Lubang ini juga merbahaya kepada murid dan penduduk kerana projek terbengkalai ini terletak berhampiran sekolah kebangsaan serta rumah kediaman,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Dilaporkan, projek tersebut dikhuatiri mengancam keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya berikutan lubang yang digali dipenuhi air.

Keadaan itu sekali gus mengundang kepada tempat pembiakan nyamuk Aedes dan menyebabkan wabak demam denggi.

Lebih membimbangkan, keselamatan pelajar sekolah yang melalui kawasan itu juga turut dipersoal masyarakat setempat.

=EZY=