Categories
SUKANKINI

Piala Sultan Selangor: PKNS FC diiktiraf, guna peluang balas kepercayaan Sultan

OLEH HAFIZAN TAIB

BESTARI JAYA, 18 MAC: PKNS FC diminta membalas kepercayaan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dengan mengatasi cabaran Pilihan Singapura untuk menjuarai Piala Sultan Selangor 2017 di Singapura, 6 Mei depan.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata pemilihan kelab itu bagi mewakili negeri sebagai Pilihan Selangor pada kejohanan itu adalah satu penghormatan dan seharusnya PKNS FC menggunakan segala kesempatan terhidang bagi mencatat kejayaan.

“Ini bukan satu pengiktirafan sahaja tetapi cabaran kepada PKNS FC untuk membaiki keputusan mereka dan juga menunjukkan keupayaan mereka dalam pertandingan itu.

“Ia satu kelebihan yang saya kira patut diambil peluang oleh PKNS FC,” katanya kepada SelangorKini.

Biarpun mengakui skuad bimbingan E Elavarasan berdepan cabaran getir daripada The Lions tetapi Amirudin berharap PKNS FC berupaya memikul tanggungjawab berkenaan demi menaikkan nama negeri dalam pertandingan itu.

“Ini tanggungjawab besar kepada PKNS FC dan diharap mereka mampu memikulnya dengan mengambil peluang yang ada untuk membuktikan kemampuan,” katanya.

Menurut laporan, Sultan Selangor menitahkan perkara itu berdasarkan surat diutuskan Pengerusi Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abdul Karim Munisar kepada Presiden PKNS FC, Siti Zubaidah Abd Jaafar.

Pertandingan bermula 2001 secara tradisi mempertemukan Selangor dan Singapura namun pemilihan The Red Ants tahun ini bukan perkara baru kerana Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) pernah berbuat demikian pada edisi 2004.

Dalam kejohanan diadakan di Stadium Nasional Singapura, PKNS FC selaku Pilihan Selangor akan menentang juara bertahan, Pilihan Singapura dalam perlawanan utama selepas pertemuan Veteran Selangor dan Veteran Singapura diadakan terlebih dahulu.

=EZY=