Categories
SELANGOR

Pinda peraturan lebih tegas tutup pusat judi

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 3 MAC: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menyarankan pindaan undang-undang dilakukan untuk memberi lebih kuasa kepada pihak berkuasa tempatan menutup pusat judi haram.

Yang Dipertua MPSJ, Dato’ Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pindaan kepada undang-undang kecil diperlukan untuk membolehkan penguatkuasaan lebih ketat dilakukan.

“Menurut undang-undang sedia ada, kita hanya boleh mengenakan denda RM1,000, merampas mesin dan peralatan lain sahaja, namun tiada hukuman penjara kepada si pengusaha pusat judi.

“Batas tindakan PBT juga hanya boleh meletakkan pita kuning pada premis tetapi kita tidak boleh menutup premis kerana tidak mempunyai kuasa berbuat demikian.

“Sebab itu, walaupun serbuan dibuat berkali-kali, mereka tetap boleh memulakan semula operasi, malahan boleh membeli mesin baru,” katanya selepas mesyuarat penuh MPSJ, baru-baru ini.

ydp mpsjHisham berkata, kebanyakan pengusaha memohon lesen pusat hiburan keluarga tetapi menjalankan aktiviti perjudian di sebaliknya.

Katanya, beberapa kawasan hotspot judi haram adalah di Puchong, Kinrara, Batu Tiga, Pinggiran USJ dan Taman Perindustrian 10.

“Tahun lalu, MPSJ berjaya merampas 4,674 mesin judi dari semua serbuan dan merampas 1,042 mesin sehingga Februari lalu.

“Jumlah ini semakin meningkat dan membimbangkan,” katanya.

-AA-