Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

RM363 juta atasi masalah bekalan air

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 2 MAC: Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan kira-kira RM363 juta bagi membantu Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menjayakan 84 projek penggantian paip usang di seluruh Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air Selangor (JPK-SAS), Ng Sze Han berkata, peruntukan besar itu disalurkan bagi memastikan masalah gangguan bekalan air mampu diatasi di negeri itu dalam tempoh terdekat.

“Projek penggantian paip usang ini akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun di 84 lokasi ‘hot spot’ di seluruh Selangor.

“Jawatankuasa ini akan memantau projek dilaksanakan Air Selangor bagi memastikan ia berjalan lancar dan mengikut jadual selain membantu sekiranya menghadapi masalah seperti mendapatkan permit daripada agensi berkaitan,” katanya kepada media.

yb-ng-sze-hanDalam lawatan hari ini, Sze Han mengetuai JPK-SAS bagi meninjau pelaksanaan projek penggantian paip usang di Taman Eng Ann, di sini, serta mendengar taklimat projek daripada Air Selangor.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan menjalankan lawatan kerja ke lebih banyak tapak projek selepas ini.

Katanya, 84 lokasi ‘hot spot’ itu adalah kawasan dikenal pasti sering mengalami masalah gangguan bekalan air akibat paip pecah dan bocor.

“Projek dilaksanakan ini adalah usaha berterusan Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah dihadapi rakyat,” katanya.

Ketua Jabatan Perancang Air Selangor berkata, penggantian paip baru daripada jenis Polietilena Ketumpatan Tinggi (HDPE) mampu mengatasi masalah paip pecah kerana tahan lasak dan bertahan hingga 50 tahun akan datang.

“Paip sedia ada yang digunakan lebih 50 tahun sepatutnya ditukar apabila tempoh penggunaan mencapai tempoh kira-kira 30 tahun,” katanya.

-NFN-