Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor alu-alukan pembinaan PPR

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 MAC: Kerajaan Selangor sentiasa komited memberi kerjasama kepada Kerajaan Persekutuan dalam penyediaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri itu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad bagaimanapun mendakwa, hanya terdapat satu projek dimohon Kerajaan Persekutuan untuk pembinaan PPR di Selangor, sejak 2008.

Katanya, projek terbabit ialah di Pasir Penambang, Kuala Selangor membabitkan 272 unit kediaman.

“Saya sentiasa mendesak Kerajaan Persekutuan membina PPR di Selangor dalam mesyuarat bersama Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Negeri juga sentiasa memberi kerjasama kepada Kerajaan Persekutuan untuk membina Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA ) dan Projek Perumahan 1 Malaysia (PPA1M),” katanya dalam kenyataan.

ISKANDAR SAMADPada masa sama, Iskandar berkata, sebanyak 11 permohonan projek PR1MA dan PPA1M diluluskan Jawatankuasa Induk Rumah Selangor Kerajaan Negeri merangkumi lebih 10,000 unit.

Sementara itu, mengulas isu PPR Lembah Subang, sebanyak RM60 juta turut diperuntukkan sejak 2013 bagi pembaikan dan penyelenggaraan lif.

“Dakwaan sesetengah pihak bahawa semua lif di PPR tidak berfungsi tidak benar.

“Kerajaan Negeri bersetuju menyerahkan PPR itu jika Kementerian bersetuju membayar semula kos menyelenggara dan membaik pulih sebanyak RM60 juta,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan negeri juga tidak menghalang untuk menyerahkan PPR Lembah Subang 1 dan hanya menunggu persetujuan Kerajaan Persekutuan.