Categories
BERITA UTAMA KENYATAAN MEDIA

Selangor peneraju hargai peranan wanita

Selamat Hari Wanita Sedunia !

Hari ini kita meraikan sumbangan, peranan dan pencapaian kaum wanita di seluruh dunia dengan bertemakan #BeBoldForChange.

Kerajaan Negeri Selangor mendukung peranan wanita sebagai agen perubahan yang selaras dengan matlamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam Sustainable Development Goals (SDGs) 2030 untuk mencapai kesaksamaan gender dan membangun daya upaya kaum wanita dan kanak-kanak perempuan.

Wanita dianugerahkan dengan kelembutan sebagai seorang ibu dan isteri, juga kekuatan dan kemampuan untuk memimpin masyarakat dan negara.

Anugerah yang istimewa inilah yang mendidik generasi akan datang seterusnya membentuk masyarakat dan negara.

WOMEN'S DAYKerajaan Negeri berbangga dengan pencapaian wanita di Negeri Selangor yang mendahului negeri-negeri lain di Malaysia dengan memiliki 15 orang ADUN wanita bersamaan dengan 27%, dengan Speaker Dewan Negeri adalah seorang wanita, dua orang Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco), dua orang Yang DiPertua Majlis Pihak Berkuasa Tempatan dan seorang Pegawai Daerah wanita.

Kerajaan Negeri Selangor juga berbangga dengan 41% Pegawai Kanan Kerajaan Negeri yang terdiri daripada wanita, lantikan dua orang hakim wanita di Mahkamah Syariah Negeri Selangor serta lantikan 25% Ahli Majlis wanita di PBT dan melantik seorang wanita untuk menerajui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), sebuah badan berkanun negeri yang menjadi penyumbang besar kepada hasil negeri.

Ini membuktikan keseriusan Kerajaan Negeri Selangor dalam mengarusperdanakan wanita dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.

Sokongan dan dukungan Kerajaan Negeri adalah berterusan dalam mengangkat agenda pemberdayaan wanita demi kesejahteraan sejagat.

Pelancaran kempen #HeForShe peringkat Negeri Selangor pada tahun 2016 membuktikan komitmen Kerajaan Negeri untuk menyeru kaum lelaki bersama-sama memperjuangkan hak wanita serta melindungi dan menghormati kaum wanita agar pembinaan institusi keluarga yang harmoni dapat dibentuk sekaligus melahirkan masyarakat yang penyayang dan saling hormat-menghormati.

Negeri Selangor telah dan senantiasa ke arah 30% wanita sebagai pembuat dasar di pelbagai peringkat. Oleh itu, saya menyeru agar Putrajaya dapat bersikap profesional dan serius dalam melaksanakan perubahan demi kemaslahatan dan kesejahteraan kaum wanita di Malaysia bukan sekadar melepaskan batuk ditangga.

Saya mencabar Putrajaya untuk #BeBoldForChange laksana perubahan demi wanita, keluarga dan anak-anak generasi masa depan Malaysia yang lebih baik buat kita semua.

DR. DAROYAH BINTI ALWI
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Negeri Selangor
ADN Sementa
Naib Ketua Wanita Keadilan Malaysia

-nR-