Categories
AGENDA NASIONAL

Permaisuri Agong nasihat wanita sayangi diri, jadi insan hebat

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengingatkan setiap wanita supaya menyayangi dan menghargai diri sendiri untuk menjadi seorang insan yang hebat dan bahagia.

Baginda bertitah wanita perlu menjaga kesihatan fizikal dan mental diri sendiri serta keluarga kerana seorang wanita yang bahagia akan mampu membawa kebahagiaan kepada semua orang di sekelilingnya.

“Wanita waja mampu mengharungi setiap cabaran yang datang dan kekuatan yang diberikan oleh Allah SWT itulah istimewanya kita wanita,” titahnya menerusi video yang dimuat naik di laman sosial rasmi Istana Negara sempena sambutan Hari Wanita hari ini.

Jelas baginda, kekuatan wanita terserlah ketika pandemik Covid-19 yang melanda negara kini apabila mereka mampu bangkit serta cekal mengatasi sebarang cabaran, sesuai dengan tema sambutan Hari Wanita tahun ini – Wanita Bangkit Mendepani Cabaran.

“Di sinilah kita melihat kekuatan seseorang insan yang bergelar wanita. Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, wanita tetap mampu bangkit dan cekal serta berjaya keluar daripada cabaran tersebut,” titah Tunku Azizah.

Baginda turut menyeru supaya masyarakat menghargai wanita, menyayangi, menghormati dan berlemah lembut dengan golongan itu.

– BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MDHS sambut Hari Wanita, hargai peranan kakitangan

SHAH ALAM, 8 MAC: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menganjurkan sambutan Hari Wanita bagi menghargai peranan kakitangan wanita yang menjadi tulang belakang pentadbiran.

Yang dipertua berkata sambutan diselaras Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

“Sambutan ini diharap dapat memberi inspirasi kepada golongan wanita yang menjadi penyumbang kepada kecemerlangan MDHS sehingga dikenali bukan sahaja peringkat negeri mahupun negara tetapi antarabangsa.

“Sambutan ini juga dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keupayaan wanita dalam pembentukan keluarga, perpaduan dan pembangunan masyarakat,” kata Dr Mohd Azhar Mohamed Ali dalam kenyataan.

Beliau berharap kakitangan wanita MDHS dapat memainkan peranan sama penting dengan lelaki supaya dapat memberi perkhidmatan perbandaran terbaik kepada rakyat.

“Saya menyeru kakitangan wanita sentiasa memperbaiki diri dengan meningkatkan ilmu dan kemahiran diri,” katanya sambil menambah ANULAE menyediakan cenderamata kepada kakitangan wanita.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Negeri pertama terap pengarusperdanaan gender

Lonjak martabat wanita

Sempena Hari Wanita pada 8 Mac, wartawan Selangor Journal Sherilyn Pang menemu bual dua EXCO Selangor iaitu Rodziah Ismail dan Dr Siti Mariah Mahmud berkaitan pelbagai isu membabitkan golongan itu.

Wartawan Amin Ridzuan Ishak mengolah semula pandangan mereka.

Pembabitan meluas golongan wanita menerusi bidang pentadbiran dalam pelbagai peringkat di negeri ini menunjukkan kesungguhan Kerajaan Selangor memartabatkan peranan mereka.

Pada masa ini sahaja, 20 peratus ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor dianggotai wanita, Ahli Dewan Negeri (23 peratus) dan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (27 peratus).

Meski ada jurang kecil, EXCO Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Keusahawanan percaya peranan wanita sentiasa dipertingkat dari semasa ke semasa.

Exco Kerajaan Negeri Rodziah Ismail (dua, kiri) menyerahkan kendera saji kepada penerima Kohijrah di Wisma Kohijrah, Shah Alam pada 10 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN

Penubuhan Institut Wanita Berdaya (IWB), sebuah badan pemikir yang merangka dan memantau dasar bagi menjuarai hal ehwal berkaitan wanita, membuktikan hal itu.

“IWB mengadakan kursus untuk penjawat awam negeri memahami isu berkaitan gender, keadilan dan kesaksamaan,” katanya Rodziah Ismail kepada Selangor Journal.

Beliau menegaskan Kerajaan Negeri bersungguh-sungguh memperbaiki kualiti hidup wanita dalam semua aspek. Ia terbukti menerusi pelbagai gerak kerja dan penyaluran bantuan.

Ini terpapar melalui penglibatan mereka dalam sektor ekonomi. Bilangannya kian bertambah, bahkan ada kira-kira 20,000 usahawan wanita daripada 100,000 pengusaha dan syarikat di negeri ini.

Program berteras ekonomi dan kebajikan juga menekankan peranan golongan itu antaranya Niaga Darul Ehsan (NaDI) dan Kad Kasih Ibu Smart Selangor (KISS).

Malah sejak tiga tahun lalu, tumpuan diberi kepada segmen makanan dan minuman kerana majoriti wanita menceburi bidang perniagaan tersebut.

Rodziah juga meneliti pembabitan wanita dalam bidang seni dan kraftangan serta membantu mereka menjalinkan kerjasama dengan jabatan kerajaan juga badan bukan kerajaan.

“Kita berusaha untuk meningkatkan pembabitan wanita dalam semua sektor,” tegas pemimpin wanita itu.

Rodziah juga teruja dengan rancangan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) untuk membangunkan bandar mesra wanita sekali gus membantu kaum hawa dalam pemilikan rumah.

Bangunan Majlis Bandaraya Subang Jaya pada 20 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Memegang portfolio perumahan sejak Oktober tahun lalu, beliau turut berhasrat mengurangkan kadar kemiskinan selain meningkatkan pemilikan kediaman kepada wanita.

“Pasukan saya dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor akan merangka dasar baharu rumah mampu milik di Selangor.

“Dasar Rumah Selangorku 2.0 akan diperbaiki. Saya sedang meneliti aspek berkaitan keperluan golongan wanita. Dasar itu bakal dilancarkan pada suku kedua tahun ini,” kata Rodziah.

Sementara itu, kemerosotan tahap kesaksamaan gender kepada 70.9 peratus di peringkat kebangsaan diumumkan Jabatan Perangkaan Malaysia tahun lalu mendapat perhatian Kerajaan Selangor dan merangka pelbagai strategi untuk mengatasinya.

EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata sejumlah RM71.3 juta disalur Kerajaan Negeri pada tahun ini untuk melaksanakan pelbagai program kebajikan dan pembangunan supaya mereka lebih berdaya saing.

Sebagai permulaan, entiti baharu akan dilancarkan dalam sambutan Hari Wanita Sedunia peringkat negeri pada 8 Mac yang turut menyaksikan pelancaran pra Ekspo Hasil Suri Selangor (HaSSel) Hibrid 2021.

HaSSel adalah platform usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) wanita di negeri ini untuk memperkenal produk mereka.

“Dalam ekspo itu akan dirasmikan dua entiti baharu di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita bagi memacu pembangunan wanita selari dengan kemajuan negeri ini,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Selangor Journal.

Tujuh sasaran

Selangor memperkasakan kaum hawa berdasarkan Dasar Wanita Selangor dan Pelan Tindakan 2017-2020 yang menggariskan lima penumpuan serta tujuh sasaran.

Objektif digariskan termasuk mempromosi sensitiviti gender, melonjak status sosioekonomi, meningkatkan perwakilan dan pembuat dasar dalam kalangan wanita, memperbaiki kesihatan serta memastikan mereka bebas daripada cengkaman keganasan dan ketakutan.

Dr Siti Mariah Mahmud menjelaskan mengenai Skim Insurans Peduli Sihat pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Hasilnya, kata Dr Siti Mariah, Selangor menjadi negeri pertama menerapkan pengarusperdanaan gender, usaha yang mengangkat martabat wanita sebagai keutamaan.

Pengarusperdanaan gender menyokong dan menggalakkan lebih ramai wanita libatkan diri dalam semua bidang ke arah membina kemajuan Selangor.

Pada masa ini, usaha pengarusperdanaan gender dilaksanakan tiga jawatankuasa iaitu perumahan, kesejahteraan bandar dan pembangunan usahawan; kesihatan awam, perpaduan, pembangunan wanita dan keluarga serta pembangunan modal insan serta belia dan sukan.

“Oleh itu, audit pembangunan kapasiti dan gender akan dilaksanakan manakala Pelan Tindakan Gender dijadikan panduan menentukan hasilnya bagi setiap jabatan.

“Pengarusperdanaan gender akan memastikan pelaksanaan projek, program dan aktiviti berdasarkan kanta gender dan inklusif untuk semua masyarakat di Selangor,” katanya.

Kebajikan dan pemerkasaan wanita turut diterjemah menerusi inisiatif seperti Kad Kasih Ibu Smart Selangor, Institut Wanita Berdaya dan Pusat Wanita Berdaya yang diwujudkan di setiap 56 kawasan Dewan Undangan Negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar sambil memegang kad ‘Hentikan Keganasan, Hormat Wanita’ ketika pelancaran 16 Hari Aktivisme Melawan Keganasan Berdasarkan Gender di Foyer SUK, Shah Alam pada 25 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Kerajaan Selangor turut memperkenalkan Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) sejak 2019 bagi mencapai sasaran 30 peratus pembuat dasar dalam kalangan wanita dalam tempoh antara lima hingga 10 tahun.

“Peserta akan bekerjasama dengan ahli parlimen dan Ahli Dewan Negeri wanita untuk menggilap bakat kepimpinan,” katanya yang menjelaskan setakat ini seramai 200 orang menyertai akademi berkenaan.

Selangor juga mengambil inisiatif program pembelajaran sepanjang hayat dengan kerjasama Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dan terbuka kepada pelajar AKW yang pengajian mereka ditanggung Kerajaan Negeri.

Ia membantu golongan wanita tercicir menyambung pengajian disebabkan faktor ekonomi dan memberi peluang kedua bagi meningkatkan tahap akademik.

“Senarai penerima biasiswa OUM yang pertama akan diumumkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari pada pada 8 Mac depan,” kata Dr Siti Mariah.

Tingkat pendapatan

Menjana pendapatan golongan wanita menerusi kemahiran turut menjadi fokus antaranya memperkenal Tanjung Suri yang mengetengahkan produk berkualiti tinggi untuk pasaran luar negara.

Dr Siti Mariah Mahmud meluangkan masa meninjau hasil produk selepas Pra Pelancaran Tanjung Suri di Isetan KLCC, Kuala Lumpur pada 8 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Antara lokasi penjualan produknya adalah Isetan, KLCC yang mendapat sambutan menggalakkan.

Setakat ini, 10 jenis produk dikeluarkan 10 jurulatih tempatan dan dihasilkan 100 suri rumah dari keluarga berpendapatan rendah yang bekerja dari rumah.

“Jurulatih dalam kalangan mereka yang berkemahiran manakala peserta pula dari Pusat Wanita Berdaya yang terbaik dan sanggup menjadi perintis projek itu,” katanya.

 

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Wanita tonggak pembentukan keluarga penyayang

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Wanita adalah golongan istimewa yang menjadi tonggak dalam pembentukan keluarga penyayang serta pemangkin terhadap kemajuan negara, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Dalam ucapan bersempena Hari Wanita Sedunia, Mohd Zuki melalui catatan di laman Twitter dan Facebook rasminya mengambil kesempatan mengucapkan tahniah terhadap pencapaian wanita hari ini yang merentasi pelbagai aspek dari politik dan ekonomi, pembuat keputusan dalam pentadbiran, pendidikan dan juga sukan.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Suriani Ahmad juga tidak ketinggalan membuat ucapan ‘Selamat menyambut Hari Wanita’ dengan tanda pagar #EachforEqual.

Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula berkata wanita adalah satu gabungan untuk menjadikan satu unit kekeluargaan membabitkan masyarakat, suami, anak, kawan dan sesama wanita.

Justeru itu, Dr Wan Azizah yang juga bekas timbalan perdana menteri berkata dengan tema “Each for Equal”, wanita tidak seharusnya lagi menjadi bahan stereotaip dan mangsa diskriminasi.

Hari Wanita Sedunia disambut setiap tahun pada 8 Mac dengan tema kali ini #EachForEqual.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Martabat peranan wanita melalui Inisiatif Peduli Rakyat

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 8 MAC: Tema sambutan Hari Wanita Sedunia tahun ini, ‘Berani Untuk Berubah’ (Be Bold For Change) adalah penting bagi menggilap kembali tekad dan azam mewujudkan sebuah masyarakat saksama dan inklusif gender.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri meningkatkan penyertaan dan penglibatan wanita dalam isu kritikal seperti ekonomi, pendidikan, kesihatan dan keselamatan.

Katanya, usaha pemberdayaan kedudukan sosio ekonomi kaum hawa juga sentiasa dipergiat menerusi Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang bersifat inklusif gender.

AZMIN-500x357“Selangor berhasrat mengiktiraf dan memartabatkan peranan wanita sebagai ‘stakeholders’ dalam proses pembangunan dan modenisasi negara.

“Maka, wanita turut menjawat peranan penting dan strategik dalam pentadbiran dan syarikat negeri.

“Kita yakin menerusi dasar peduli dan progresif serta penggunaan teknologi, wanita akan lebih produktif dalam mengemudi persekitaran mencabar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Institut Wanita Berdaya ditubuhkan untuk merencana dasar dan inisiatif baru lebih progrsif demi memartabatkan wanita di Selangor.

“Menjadi harapan kita agar segala usaha ini menjadi pemangkin kepada usaha pemberdayaan kaum hawa bagi menjana produktiviti dan memacu pertumbuhan negeri.

“Marilah kita bersama menggembleng seluruh kekuatan menjayakan agenda Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri,” katanya.

-nR-

Categories
BERITA UTAMA KENYATAAN MEDIA

Selangor peneraju hargai peranan wanita

Selamat Hari Wanita Sedunia !

Hari ini kita meraikan sumbangan, peranan dan pencapaian kaum wanita di seluruh dunia dengan bertemakan #BeBoldForChange.

Kerajaan Negeri Selangor mendukung peranan wanita sebagai agen perubahan yang selaras dengan matlamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam Sustainable Development Goals (SDGs) 2030 untuk mencapai kesaksamaan gender dan membangun daya upaya kaum wanita dan kanak-kanak perempuan.

Wanita dianugerahkan dengan kelembutan sebagai seorang ibu dan isteri, juga kekuatan dan kemampuan untuk memimpin masyarakat dan negara.

Anugerah yang istimewa inilah yang mendidik generasi akan datang seterusnya membentuk masyarakat dan negara.

WOMEN'S DAYKerajaan Negeri berbangga dengan pencapaian wanita di Negeri Selangor yang mendahului negeri-negeri lain di Malaysia dengan memiliki 15 orang ADUN wanita bersamaan dengan 27%, dengan Speaker Dewan Negeri adalah seorang wanita, dua orang Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco), dua orang Yang DiPertua Majlis Pihak Berkuasa Tempatan dan seorang Pegawai Daerah wanita.

Kerajaan Negeri Selangor juga berbangga dengan 41% Pegawai Kanan Kerajaan Negeri yang terdiri daripada wanita, lantikan dua orang hakim wanita di Mahkamah Syariah Negeri Selangor serta lantikan 25% Ahli Majlis wanita di PBT dan melantik seorang wanita untuk menerajui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), sebuah badan berkanun negeri yang menjadi penyumbang besar kepada hasil negeri.

Ini membuktikan keseriusan Kerajaan Negeri Selangor dalam mengarusperdanakan wanita dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.

Sokongan dan dukungan Kerajaan Negeri adalah berterusan dalam mengangkat agenda pemberdayaan wanita demi kesejahteraan sejagat.

Pelancaran kempen #HeForShe peringkat Negeri Selangor pada tahun 2016 membuktikan komitmen Kerajaan Negeri untuk menyeru kaum lelaki bersama-sama memperjuangkan hak wanita serta melindungi dan menghormati kaum wanita agar pembinaan institusi keluarga yang harmoni dapat dibentuk sekaligus melahirkan masyarakat yang penyayang dan saling hormat-menghormati.

Negeri Selangor telah dan senantiasa ke arah 30% wanita sebagai pembuat dasar di pelbagai peringkat. Oleh itu, saya menyeru agar Putrajaya dapat bersikap profesional dan serius dalam melaksanakan perubahan demi kemaslahatan dan kesejahteraan kaum wanita di Malaysia bukan sekadar melepaskan batuk ditangga.

Saya mencabar Putrajaya untuk #BeBoldForChange laksana perubahan demi wanita, keluarga dan anak-anak generasi masa depan Malaysia yang lebih baik buat kita semua.

DR. DAROYAH BINTI ALWI
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Negeri Selangor
ADN Sementa
Naib Ketua Wanita Keadilan Malaysia

-nR-

Categories
SELANGOR

505 bunga diedar di DUN Teratai sempena Hari Wanita

OLEH : SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 8 MAC: Sebanyak 505 kuntum bunga diedar di kawasan DUN Teratai di kawasan itu sebagai menghargai golongan wanita sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia 2016 yang disambut setiap 8 Mac.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Teratai, Tiew Way Keng, berkata tujuannya selaras dengan tema Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mencapai solidariti kesaksamaan gender dalam #heforshe

DUN Teratai“Wanita pada masa kini dilihat antara penyumbang besar kepada negara dan pemberian bunga ini sebagai tanda penghargaan kita kepada mereka kerana ada diantara wanita ini tidak pernah menerima bunga,” katanya kepada SelangorKini.

Sebelum itu, katanya DUN Teratai menjalankan Program Kesedaran Wanita yang disertai anak muda tentang kesedaran kehidupan sebagai wanita.

“Program itu secara tidak langsung dapat membuka minda anak muda khususnya para suami untuk lebih memahami dan menghargai kaum wanita,” katanya.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Hargai jasa dan pengorbanan besar wanita

OLEH : MOHD ANUAR TAHIR

Sempena sambutan Hari Wanita Sedunia hari ini, Parti Amanah Negara (AMANAH) ingin merakamkan penghargaan terhadap golongan wanita yang dilambangkan oleh ibu, isteri dan saudara perempuan sebagai belahan daripada diri manusia.

Seorang manusia sama ada lelaki mahupun wanita, tetap dipengaruhi oleh seorang wanita.

wanita 4Jasa dan pengorbanan wanita tidak mungkin dapat dicatat sepenuhnya oleh tinta. Pengorbanan zaman berzaman sejak daripada ibu kita Hawa sampai ke zaman ini tidak akan terungkapkan.

Tokoh-tokoh pejuang wanita sepanjang zaman sejak dari zaman Tun Fatimah sampai ke zaman mutakhir seperti Datuk Seri Dr Wan Azizah dan Aung San Suu Kyi, telah menggambarkan bahawa wanita adalah sumber perjuangan. Jasa mereka wajar dikenang. menghargai mereka adalah menghargai kaum ibu kita sendiri.

Mewakili AMANAH, saya ingin mengambil kesempatan ini dengan penuh penghargaan mengucapkan Selamat Hari Wanita kepada semua wanita-wanita di negara ini, khasnya kepada Ketua Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Yb Dr Siti Mariah Mahmud dan rakan-rakan seperjuangannya yang menjadi lambang perjuangan kami di AMANAH.

“Selamat Hari Wanita! Hidup Wanita! Dirgahayu Wanita!”

* MOHD ANUAR TAHIR adalah Setiausaha Agung Parti Amanah Negara