Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Sembilan rakyat Malaysia di Korea Utara gembira selamat kembali ke tanah air

SHAH ALAM, 31 MAC: Kaunselor Kedutaan Besar Malaysia di Korea Utara, Mohd Nor Azrin Md Zain bersama keluarganya dan empat lagi rakyat Malaysia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada jam 5.03 pagi tadi.

Beliau bersama isteri Iza Karmila Ramli, 35, dan tiga anak mereka iaitu Annur Zulaikha, 6; Aynur Zhafirah, 5, serta Ayscha Zinnirah, 3, dan empat lagi rakyat Malaysia tidak putus mengukir senyum sebaik tiba di tanah air.

“Saya sangat-sangat gembira kerana dapat kembali bersama ahli keluarga dan yang tersayang. Sekali lagi saya mahu berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia yang berusaha membawa kami pulang ke tanah air

“Kami gembira dapat kembali,” katanya lapor BERNAMA.

Azrin Korea Utara1Mohd Nor Azrin, 37, turut melahirkan penghargaan kepada semua yang terbabit dalam rundingan serta kedutaan ASEAN lain di Pyongyang yang banyak membantu dan menyokong mereka sepanjang tempoh itu.

“Kami menerima banyak sokongan terutama daripada kedutaan ASEAN seperti Indonesia, Laos, Vietnam dan Kemboja di Pyongyang. Kami menerima sokongan moral, logistik, bekalan makanan dan perubatan daripada mereka,” katanya.

Mohd Nor Azrin berkata, sepanjang tempoh itu juga mereka tidak dihalang untuk keluar dari kedutaan.

“Kami tahu perkembangan semasa dan berusaha mengekalkan semangat yang tinggi,” katanya.

Selain Mohd Nor Azrin sekeluarga, empat lagi rakyat Malaysia yang turut pulang adalah Pembantu Peribadi kepada Duta Besar, Noor Saaidah Jamaluddin, 29, dan suaminya, Mohd Radzuan Othman, 29, serta bayi mereka Mohamad Radhiy berusia lapan bulan dan pembantu tadbir, S Nirmala Malar Kodi, 45.

Ketegangan antara Malaysia dan Korea Utara tercetus ekoran pembunuhan abang pemimpin negara itu Kim Jong-un iaitu Kim Jong-nam di KLIA2, pada 13 Februari lalu.

Pergeseran diplomatik timbul apabila Duta Korea Utara ke Malaysia ketika itu, Kang Chol membuat tuduhan tidak berasas terhadap Malaysia berkenaan cara negera mengendalikan kes itu yang mengakibatkan Malaysia mengisytiharkan beliau sebagai ‘persona non grata’ dan mengusirnya keluar.

Kang Chol meninggalkan Kuala Lumpur pada 6 Mac lalu dan kemudian Korea Utara bertindak balas dengan mengusir Duta Besar Malaysia di Pyongyang.

Pada 7 Mac lalu, Pyongyang menghalang rakyat Malaysia meninggalkan negara itu dan Kuala Lumpur mengambil tindakan sama ke atas warganegara Korea Utara yang berada di negara ini.

-NFN-