Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

SPRM perlu lebih tegas tangani rasuah

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disaran lebih serius menangani isu rasuah di negara ini dengan mengambil tindakan kepada pihak terbabit tanpa sikap pilih kasih dan terpilih.

Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook, berkata pelbagai tindakan diambil SPRM kepada pihak dipercayai mempunyai kaitan dengan isu itu dilihat belum mencukupi kerana ia tidak dilakukan secara menyeluruh.

Katanya, titah ucapan DYMM Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V berhubung perkara itu jelas menggambarkan situasi negara ketika ini yang dibebani masalah berkenaan.

“SPRM ada memgambil pelbagai tindakan terhadap pegawai kerajaan di peringkat kementerian dan jabatan hingga ke negeri tetapi nampaknya ia kes membabitkan pegawai kerajaan sahaja.

“Kalau membabitkan pemimpin politik dan yang tertinggi, adakah SPRM mempunyai ketegasan juga keberanian untuk bertindak,” katanya kepada SelangorKini di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas titiah ucapan Yang Dipertuan Agong yang menyentuh perkara itu dalam Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Sidang Dewan Rakyat ke 13 itu.

Kata Ahli Parlimen DAP itu, pelbagai persoalan timbul mengenai SPRM kerana banyak kes rasuah diambil tindakan tetapi isu besar antaranya kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih lagi belum nampak sebarang tindakan akan dilakukan pihak berkuasa berkenaan.

“Baginda dukacita dengan penyelewengan, ketirisan dan rasuah yang berlaku secara berleluasa maka saya kira ia isu yang patut diberikan perhatian oleh semua bukan sahaja Ahli Parlimen tetapi juga rakyat.

“Ini kerana ia akan merosakkan negara kalau tidak ditangani secara besar-besaran,” katanya.

Isu 1MDB dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mendapat perhatian rakyat dan banyak pihak hingga peringkat antarabangsa.

=EZY=