Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tak adil nilai kes bankrap di Selangor berdasarkan angka

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 30 MAC: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berpandangan status Selangor yang mencatatkan jumlah kes bankrap tertinggi di Malaysia dengan 70,817 kes tidak boleh dinilai berdasarkan angka.

Katanya, kes itu tidak hanya berpunca daripada sikap berhutang terutama membabitkan pinjaman pendidikan menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebaliknya turut dipengaruhi status individu yang bertindak sebagai penjamin pinjaman.

“Status bankrap itu harus dilihat. Kadang-kadang seseorang itu sebagai penjamin dan tak semestinya diapemiutang yang mendapat hutang. Jadi angka begitu tidak memberikan gambaran sebenar status bankrap itu.

DUN MAC 17 (10)“Namun, saya kira dalam situasi ekonomi hari ini sudah tentu banyak pihak terkesan dengan nilai ringgit yang merudum dan memberikan kesan kepada perniagaan mereka,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said ketika membentangkan Rang Undang-undang Kebankrapan (Pindaan) 2016 bagi bacaan kedua di Dewan Rakyat berkata, Selangor merekodkan kes tertinggi di seluruh negara dengan 70,817 kes.

Memetik perangkaan Jabatan Insolvensi Malaysia, beliau berkata setakat Februari lalu, terdapat 292,086 kes bankrap yang aktif dan masih belum diselesaikan.

Katanya, usaha Kerajaan Negeri memperkenalkan program Skim Pembiayaan Mikrokredit Hijrah Selangor (HIJRAH) antara inisiatif membantu rakyat memperkasa bidang perniagaan.

“Kita membantu daripada segi program yang dilaksanakan sekarang. Memberi bantuan modal perniagaan dan biasiswa.

“Ada juga kes PTPTN yang perlu kita lihat bagaimana mereka ini perlu dibantu kerana mereka tidak boleh mendapat pinjaman perumahan.

“Salah satu isu besar hari ini adalah soal PTPTN dalam kalangan graduan muda, jadi kita struktur semula pembayaran balik. Jadi usaha itu sedang berjalan,” katanya.

-NFN-