Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

TAWAS terima 300,135 permohonan, 262,842 diluluskan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 1 MAC: Sambutan rakyat Selangor terhadap program Tabung Anak Warisan Selangor (TAWAS) semakin meningkat apabila sehingga hari ini tabung itu menerima sebanyak 300,135 permohonan sejak dilancarkan pada 2008.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Yayasan Anak Warisan Selangor (YAWAS), sehingga kini sebanyak 262,842 permohonan diluluskan.

Statistik itu turut menunjukkan seramai 287 peserta yang diluluskan permohonannya meninggal dunia sebelum mencapai umur 18 tahun di mana waris si mati menerima bantuan khairat kematian berjumlah RM1,500.

Permohonan tertinggi diterima pada 2014 dengan mencatatkan 46,423 permohonan dan manakala terendah pada 2008 dengan 23,845 permohonan.

Pemohon berbangsa Melayu mencatatkan permohonan tertinggi dengan 204,310 permohonan atau 68 peratus diikuti Cina 55,493 permohonan (18 peratus), India sebanyak 32,643 permohonan (11 peratus) dan selebihnya lain-lain bangsa.

TAWAS merupakan antara program terawal dilancarkan Kerajaan Negeri sebaik sahaja Pakatan menang di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac 2008.

Program di bawah Inisiatif Peduli Rakyat atau sebelumnya dikenali dengan Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) itu menawarkan wang sebanyak RM1,500 apabila anak yang didaftarkan mencapai usia 18 tahun.

Program ini turut disertakan dengan khairat kematian kepada waris ahli yang meninggal sebelum mencecah usia 18 tahun.

=EZY=