Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tengku Amir Shah terima Beret Merun

OLEH DEWI ABDUL RAHMAN

MELAKA, 15 MAC: DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah dianugerahkan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged PARA di Kem Terendak, Sungai Udang, di sini, hari ini.

Penganugerahan itu adalah penghormatan tertinggi daripada pasukan berkenaan kepada individu, pemimpin tinggi tentera atau kerajaan di dalam serta luar negara.

Ia juga pengiktirafan terhadap individu yang dipilih berdasarkan kecemerlangan perhubungan perkhidmatan dan penerimaan ke dalam pasukan elit, Pasukan Aturgerak Cepat 10 Briged PARA.

Majlis penganugerahan disempurnakan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim di Dataran Parawood sambil disaksikan Orang Besar Istana, Datuk Syed Budriz Putra Jamalullail Syed Amir Abidin Jamallulail dan bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Dr Mohamad Hashim Mohd Ali.

Sebelum itu, Tengku Amir Shah berkenan menyaksikan pameran peralatan terjun, persenjataan dan kenderaan digunakan anggota 10 Briged PARA serta demonstrasi dinamik membabitkan 77 pegawai dan 1,198 anggota.

Antaranya aksi terjun bebas enam penerjun menggunakan payung ‘combat military tactical glider’ dari ketinggian 5,000 kaki, demonstrasi tempur tanpa senjata (TTS), human wave, free fall, serangan seksyen dan renang tempur.

IMG_20170315_110907_793Demonstrasi membabitkan anggota penembak tepat dari Kompani Pandura Para, dibantu kuasa tembakan artileri dan mortar serta penggunaan bom jangka untuk memusnahkan kawasan.

Turut mendapat perhatian ialah demonstrasi keyakinan diri dari menara serbaguna membabitkan ‘abseiling dan repelling’, serta ‘fast roping’.

Di samping itu, Tarian Perang dan Tactical Combat Casualty Course (TCCC) juga dipersembahkan kepada baginda, pada penghujung demonstrasi yang berlangsung kira-kira sejam itu.

Tengku Amir Shah adalah satu-satunya kerabat Diraja yang mengikuti Kursus Asas Pasukan Aturgerak Cepat (APAC) siri 2/2016, pada 5 September hingga 2 Oktober 2016.

Baginda juga ditauliahkan Leftenan Muda dalam Kor Rejimen Askar Melayu Diraja(RAMD) dan menerima Watikah Tauliah Pegawai Muda Tentera Darat Luar Negara, pada tahun lalu.

-AA-