Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tiada unsur terorisme, kerajaan perlu bebaskan Siti Noor Aishah

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Kerajaan diminta membebaskan pelajar universiti tempatan, Siti Noor Aishah Atam, yang ditahan atas dakwaan bersekongkol dengan aktiviti keganasan ekoran tangkapan dilakukan tanpa bukti.

Ketua Angkatan Wanita AMANAH (AWAN), Dr Siti Mariah Mahmud berkata, tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu zalim dan kerajaan sewajarnya berhenti menakutkan rakyat selain menilai modus operandi membasmi kegiatan keganasan dengan lebih baik serta terancang tanpa menzalimi pihak tidak bersalah.

“Saya mendesak kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membebaskan Siti Noor Aishah dengan segera dan membersihkan namanya daripada kezaliman Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Jenayah 1956 (POCA).

mariah“Penahanan dibuat ke atas beliau kini dan sebelum ini menafikan haknya sebagai pelajar untuk membaca sebarang bahan rujukan sebagai satu kajian penyelidikan,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Dilaporkan Siti Noor Aishah kini ditempatkan di Penjara Kajang, dan ditahan di bawah SOSMA, manakala penahanannya sebelum ini dibuat di bawah dua akta iaitu SOSMA dan POCA.

Beliau berkata, difahamkan Siti Noor Aishah ditahan atas kesalahan memiliki 12 buku berkaitan keganasan serta mengimport bendera sebuah kumpulan pengganas yang belum dibuktikan pihak berkuasa.

Katanya, bagi tuduhan itu, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Shariff Abu Samah pada 29 September tahun lalu memerintahkan pelajar terbabit dibebaskan ekoran kegagalan KDN di bawah Menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, membuktikan semuaa buku itu diharamkan di negara ini.

“Menggunakan peruntukan undang-undang seperti SOSMA dan POCA sebenarnya satu kezaliman terang-terangan, sekali gus bertentangan dengan hak rakyat dalam negara ini.

“Pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum ini juga tidak menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk tunduk hormat kepada perlembagaan dan hak rakyat, malahan membawa negara kepada satu lagi bentuk kezaliman pentadbiran,” katanya.

Manivanan-Gowin-4aAhli Parlimen Kapar, G Manivanan berkata, KEADILAN menuntut kerajaaan membebaskan Siti Noor Aishah serta berpandangan SOSMA dan POCA tidak sewajarnya digunakan dalam kes berkenaan.

“Saya difahamkan buku dimiliki Siti Noor Aishah belum diharamkan kerana masih boleh diperoleh di perpustakaan awam dan terjual di pasaran.

“Malah, bapanya memaklumkan kepada saya bahawa hakim dalam satu kes menyatakan anaknya juga membaca buku terbabit dan tiada kaitan keganasan juga unsur terorisme maka dibebaskan,” katanya.

-NFN-