Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Mana sumber dana RM3.3 bilion diguna 1MDB bayar hutang?

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 30 MAC: Jawapan bertulis Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat bahawa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah menjelaskan hutang bank dan jangka pendek berjumlah RM3.329 bilion daripada jumlah hutang keseluruhan yang dianggarkan mencecah RM50 bilion menimbulkan persoalan baru.

FAHMIPengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Fahmi Fadzil berkata, kenyataan Najib itu menyebabkan banyak pihak tertanya-tanya dari manakah sumber dana digunakan 1MDB untuk melangsaikan hutangnya itu.

“Saya percaya ramai yang tertanya dari mana datangnya wang. Semua maklumat terperinci berkenaan pembayaran hutang ini perlu dibentang dalam Parlimen berkenaan sumber dana, jumlah sebenar dibayar, senarai semua pemiutang dan adakah masih ada syarat lain yang perlu dipenuhi dalam pinjaman itu,” kata Fahmi ketika dihubungi SelangorKini, di sini, hari ini.

Katanya, skandal 1MDB tidak boleh diselesaikan hanya dengan satu kenyataan ringkas Najib sebaliknya segala maklumat terperinci berkenaan hutang yang ditanggung 1MDB perlu dibentangkan di Parlimen.

Katanya, isu dasar yang perlu diselesaikan adalah masalah berkaitan tatakelola dan urus tadbir 1MDB apabila beberapa individu di luar negara diheret ke mahkamah di negara masing-masing selain pembayaran hutang yang penuh misteri itu.

Sebelum itu, Najib dalam jawapan bertulis di Parlimen memberitahu bayaran balik hutang 1MDB adalah seperti berikut:

1. Membayar penuh kemudahan kredit RM229.5 juta kepada Affin Bank pada 23 November 2015.

2. Menjelaskan sepenuhnya kredit siap sedia bernilai RM950 juta kepada kerajaan pada 31 Mac 2016.

3. Membayar balik kemudahan pinjaman berjangka RM2 bilion kepada Marstan Investment NV pada 8 April 2016.

4. Menjelaskan kemudahan pembiayaan berjangka AS$150 juta dengan EXIM Bank pada 15 April 2016.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika menjawab soalan Er Teck Hwa (DAP-Bakri) yang meminta angka dikemas kini berkenaan kakitangan 1MDB, aliran tunai, hutang dan aset firma itu.

-NFN-