Categories
NASIONAL

Tindakan lanjut jika mayat Jong-nam tidak dituntut

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 2 MAC: Kerajaan akan meneliti tindakan selanjutnya jika waris warga Korea Utara, Kim Jong-nam tidak menuntut mayat selepas tempoh masa tertentu, kata Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Menteri Kesihatan itu berkata, tiada tempoh masa ditetapkan, namun kerajaan berharap ada dalam kalangan saudara mara Jong-nam tampil dan memberi sampel DNA untuk melengkapkan prosedur forensik.

Katanya, ia selaras undang-undang negara yang menyatakan mayat si mati hanya boleh dituntut selepas selesai proses DNA memandangkan terdapat dua nama digunakan; Kim Chol dan Jong-nam.

“Setakat ini, tiada ahli keluarga tampil membuat pengecaman atau menuntut mayatnya. Kita memerlukan sampel DNA ahli keluarga untuk memadankannya dengan profil si mati.

“Kita mahu membuat kesimpulan dan memerlukan sampel DNA untuk mengesahkan identitinya,” katanya lapor Bernama.

Subra_600x400-300x200Pada masa sama, Subramaniam berkata, Malaysia tidak akan menyerahkan mayat sehingga pengecaman dibuat dan hanya menyerahkannya kepada waris sah.

“Dalam kes sangat luar biasa seperti ini, kerajaan akan membuat keputusan selepas mayatnya tidak dituntut untuk tempoh lama dengan mengambil kira sistem antarabangsa dan hubungan dua hala antara kerajaan.

“Apapun permintaan mereka, jawapan kita tetap sama dan kita tidak akan tunduk serta mengubahnya atas sebarang sebab,” katanya merujuk desakan Korea Utara berhubung kes berkenaan.

Pada 13 Februari lalu, Jong-nam dihampiri dua wanita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) sebelum disapu dengan tapak tangan yang disembur cecair beracun dikenal pasti sebagai agen saraf VX.

Beliau dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

-AA-