Categories
SELANGOR

Wakaf Gazebo UNISEL beri manfaat pelajar sekolah

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 2 MAC: Projek Wakaf Gazebo UNISEL menyaksikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, Bestari Jaya menjadi lokasi pertama projek amal berkenaan.

Pengarah Komunikasi Korporat Universiti Selangor (UNISEL), Hasril Abu Hassan berkata, projek berkonsepkan wakaf itu adalah salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memberi manfaat kepada pelajar sekolah.

Katanya, pelajar dapat menggunakan gazebo berkenaan sebagai tempat istirehat dan mengulangkaji pelajaran.

“Selain itu, ia juga dapat mengetengahkan kemahiran pembinaan kepada pelajar seterusnya meluaskan konsep wakaf.

“Pada masa sama, kita dapat memberi pendedahan kepada pelajar sekolah berkenaan UNISEL serta kursus ditawarkan,” katanya dalam kenyataan.

Pemasangan Wakaf Gazebo di SMK Rantau Panjang disempurnakan semalam oleh kakitangan dan pelajar UNISEL.

Menyasarkan lebih banyak sekolah di Selangor selepas ini, projek amal itu adalah gabungan tiga fakulti iaitu Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat, Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran serta Bahagian Jaringan Komuniti (COMNET).

-AA-