Categories
GLOBAL

Trump izin CIA serangan guna dron

WASHINGTON 14 MAC: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memberikan keizinan kepada badan perisikan negara itu Central Intelligence Agency (CIA) untuk menggunakan dron bagi menyerang suspek militan, lapor Wall Street Journal dipetik jurucakap rasmi pegawai AS.

Tindakan itu merupakan perubahan polisi dilaksanakan Trump terhadap dasar ditetapkan pentadbiran Barack Obama sebelum ini yang hanya menghadkan pembabitan CIA dalam aktiviti paramiliteri.

Dilaporkan White House, Jabatan Pertahanan AS dan CIA tidak memberikan respon segera berhubung isu itu.

Amerika Syarikat pertama kali menggunakan serangan dron terhadap suspek militan selepas serangan 11 September 2001 terhadap New York dan Washington.

Serangan menggunakan dron dilaksanakan menggunakan dron jenis Predator dan Reaper untuk mensasarkan serangan khususnya dalam operasi di luar negara AS.

Kritikan antarabangsa diberikan terhadap tindakan penggunaan dron ekoran peningkatan kes serangan disasarkan kepada masyarakat awam sehingga banyak mengorbankan nyawa.

Pada Julai 2016, Kerajaan Amerika Syarikat bertanggungjawab terhadap secara tidak langsung menyebabkan 116 masyarakat awam terbunuh dalam serangan dron di negara bukan perang.

=EZY=