Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tun M: Kerajaan tak cekap tangani krisis Korea Utara

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 MAC: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyelar Kerajaan Persekutuan dalam menangani krisis dengan Korea Utara ketika ini.

Beliau berkata, insiden yang dialami ketika ini tidak ditangani dengan cekap sehingga menimbulkan ketegangan antara Malaysia dengan Korea Utara.

“Saya fikir ini jadi satu pengajaran kepada kita, iktibar tangani masalah ini pada masa depan,” katanya di Yayasan Kepimpinan Perdana.

tun-mDr Mahathir berkata, Malaysia juga tidak perlu menjadikan Korea Utara sebagai musuh dan perlu menangani krisis itu dengan lebih bijak serta menjadikannya satu pengajaran, pada masa akan datang.

“Terdapat banyak misteri dalam kes ini, siapa yang berniat untuk membunuh apa hasil daripadanya dan macam mana boleh berlaku.

“Ini kerana, negara kita dipenuhi ramai orang asing dan mereka bawa perkara yang tidak baik. Sebab itu, sementara kita perlu berterus terang, kita mesti tentukan fakta itu betul apabila buat sesuatu kenyataan,” katanya.

Beliau turut berpendapat, Malaysia perlu mengikut dasar dahulu dengan memilih berkecuali dan tidak terikat dengan mana-mana negara.

“Dasar dahulu adalah kita berkecuali dan tidak terikat dengan mana-mana negara. Kita bersahabat dengan semua negara tanpa mengambil kira dasar atau ideologi mereka.

“Sekarang ada perbezaan dasar sedikit, kita sudah mendekatkan diri dengan satu negara lain. Ini kurangkan kebebasan kita. Adalah lebih baik, pilih dasar berkecuali kerana beri banyak manfaat kepada kita,” katanya.

-NFN-