Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Ong Kian Ming: SPR cabuli Perlembagaan Persekutuan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 MAC: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didakwa mencabuli Perlembagaan Persekutuan apabila melakukan persempadanan semula tanpa membabitkan Selangor.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming berkata, SPR didakwa menerbitkan notis untuk mengumumkan paparan pusingan kedua permulaan rasmi untuk menjalankan persempadanan semula 2016.

Katanya, notis itu tidak termasuk Selangor kerana Kerajaan Negeri mencabar proses persempadanan semula itu di Mahkamah Tinggi.

ong-kian-ming“Perkara 113 (6) Perlembagaan Persekutuan menyatakan persempadanan semula adalah bagi ‘negeri Tanah Melayu dan bagi setiap negeri-negeri Sabah dan Sarawak’.

“Langkah itu dipersoalkan dan kemungkinan besar tidak sah daripada segi perlembagaan dan (persempadanan semula) bagi negeri di Malaya tidak boleh dibentangkan di Parlimen tanpa memasukkan Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Kian Ming berkata, keputusan itu menjejaskan keberkecualian SPR dan menunjukkan suruhanjaya itu secara tergesa-gesa melakukan proses persempadanan semula.

Katanya, ia bertentangan dengan amalan yang menyatakan SPR perlu menunggu keputusan Mahkamah Tinggi sebelum mengambil langkah seterusnya.

“Sekiranya keputusan Mahkamah Tinggi memihak kepada Kerajaan Selangor, SPR tidak boleh meneruskan inkuiri awam di Selangor.

“SPR akan terpaksa merayu keputusan itu di Mahkamah Rayuan dan mungkin hingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan keputusan yang menggalakkan.

“Ini akan melambatkan SPR daripada membentangkan persempadanan semula yang lengkap bagi Semenanjung Malaysia kepada perdana menteri untuk kelulusan parlimen,” katanya.

-NFN-