Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Turki tamatkan kempen tentera di Syria

ISTANBUL, 30 MAC: Kerajaan Turki menamatkan kempen tentera di utara Syria, namun tidak menolak kemungkinan mewujudkan kempen ketenteraan baharu di negara bergolak itu dengan nama berbeza, kata Perdana Menterinya, Binali Yildirim, semalam.

Penamatan kempen tentera di utara Syria itu diumumkan tanpa menyatakan sama ada Turki akan membawa keluar askarnya dari negara jiran berkenaan.

“Euphrates Shield sudah berakhir. Jika perlu, operasi yang mungkin dilaksanakan selepas ini akan diberi nama lain.

PM Turki“Bermula dari sekarang, jika ada ancaman terhadap keselamatan kita sama ada Daesh atau kumpulan lain dan mahu tindakan diambil, maka ia adalah operasi baharu,” kata Yildirim kepada televisyen swasta NTV lapor AFP.

Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara (MGK) dipengerusikan Presiden Tayyip Erdogan dalam satu kenyataan berkata, operasi setengah tahun di negara jiran itu dianggap berjaya.

“Operasi Euphrates Shield bertujuan memastikan keselamatan di sempadan negara dan membanteras ancaman Daesh serta serangannya yang menyasarkan Turki. Ia sudah tamat dengan jayanya,” kata MGK selepas mesyuarat di istana Erdogan di Ankara.

Namun, masih kurang jelas sama ada ia petanda membabitkan rancangan menarik keluar tentera Turki di Syria atau kempen itu bakal disambung di lokasi lain dengan nama berbeza.

Turki melancarkan kempen ketenteraan di Syria iaitu Euphrates Shield yang menyasarkan kumpulan militan Daesh dan Kurdis kerana Ankara menganggap mereka pengganas, pada Ogos 2016.

-NFN-