Categories
NASIONAL

Wan Azizah: Pembangkang bersatu cerahkan peluang kemenangan

OLEH AFIX REDZUAN

SEBERANG JAYA, 5 MAC: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru blok pembangkang untuk bersatu bagi mencerahkan peluang membawa perubahan di Putrajaya dalam Pilihanraya Umum ke-14.

Beliau berkata kemenangan itu penting demi memenuhi hasrat rakyat membawa perubahan.

“Janganlah kita berpecah. Sekarang kalau kita buat bancian, memang Perdana Menteri mendapat rating rendah tetapi kalau berpecah, habislah.

“Tidaklah bermaksud kita boleh menang kalau berpecah. Ingatlah pengorbanan Anwar Ibrahim demi rakyat, demi Malaysia, demi kita bersama di Permatang Pauh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya P044 Parlimen Permatang Pauh.

Katanya, Pakatan bukan sahaja perlu menang di Permatang Pauh semata-mata jika mahu Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan.

“Kalau mahu Anwar dibebaskan bukan sahaja kita perlu menang di Permatang Pauh tetapi di Malaysia.

“Tidak ada maknanya mengubah Perdana Menteri semata-mata. Perdana Menteri sudah berubah tetapi telah banyak yang teruk terjadi,” katanya.

=EZY=