Categories
BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

Pelaburan Selangor RM7.8 bilion pada 2016

OLEH AFIX REDZUAN

SEBERANG JAYA, 5 MAC: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan Selangor mencatatkan pelaburan berjumlah RM7.8 bilion, pada 2016.

Katanya, Kerajaan Negeri mensasarkan pelaburan RM6 bilion sebelum ini, namun pengumuman baru Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) adalah sesuatu yang membanggakan buat Selangor.

“Kita sasarkan pelaburan pada 2016 mencecah RM6 bilion, namun MIDA mengesahkan pelaburan yang masuk ke Selangor adalah RM7.8 bilion.

“Ini satu peningkatan yang besar. Seperti yang saya sebutkan asasnya adalah keyakinan pelabur asing terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri.

“Ia satu kebanggan kerana bakal mencipta peluang pekerjaan bagi anak Selangor dan menjana pertumbuhan mampan bagi Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya P044 Parlimen Permatang Pauh.

Katanya, peningkatan itu didorong kemasukan syarikat pelabur utama seperti Toyota dan Rolls Royce disebabkan matlamat Kerajaan Negeri membangunkan industri berteknologi tinggi dan mengurangkan pergantungan terhadap tenaga kerja asing.

Menyentuh sasaran bagi 2017 Mohamed Azmin menjelaskan ia bakal dibincangkan dalam sesi Dewan Negeri Selangor (DNS) yang berlangsung bermula 27 Mac ini.

Merujuk kepada laman sesawang MIDA, jumlah pelaburan ke Selangor adalah RM7,880,767,374. Ia merangkumi pelaburan dalam negeri berjumlah RM4,529,119,807, manakala pelaburan luar negara berjumlah RM3,351,647,567.

Prestasi itu juga menunjukkan Selangor berada di kedudukan kedua dalam jumlah pelaburan tertinggi, pada 2016 selepas Johor, manakala Sarawak ketiga.

=EZY=