Categories
EKONOMI NASIONAL

AEON Credit-HelloGold tawar skim pembiayaan milikan emas patuh syariah

KUALA LUMPUR, 21 APR: AEON Credit Service (M) menjalinkan kerjasama bersama HelloGold Sdn Bhd bagi merancakkkan lagi aktiviti jualan dalam talian dengan memperkenalkan skim pembiayaan milikan emas patuh syariah pertama di negara ini.

Pengarah Urusan AEON Credit, Kenji Fujita berkata, kaedah itu dilaksanakan sebagai inisiatif urusniaga baru pihaknya seiring kemajuan teknologi terkini.

“Kami menawarkan pembiayaan pinjaman antara RM1,000 sehingga RM10,000 kepada pelanggan yang berminat untuk mendapatkan pembelian emas secara dalam talian.

“Justeru, usahasama ini membuka ruang kepada sumber pertumbuhan pengguna bagi mendapatkan nilai tambah dan meningkatkan lagi peluang mendapatkan pembiayaan secara mudah.

AEON MoU“Ia landasan terbaik dan meningkatkan lagi pengalaman pengguna untuk mendapatkan jaringan pembiayaan berkesan,” katanya pada sidang media Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) antara AEON Credit Service dan HelloGold Sdn Bhd, di Hotel Hilton, di sini, semalam.

Beliau berkata, pembelian produk diyakini selamat, menjimatkan dan berpatutan, sekali gus membolehkan pelanggan menyimpan kewangan pada kadar minima.

“Anda tidak perlu bimbang memandangkan HelloGold turut mendapat pensijilan patuh syariah daripada Penasihat Amanie iaitu sebuah Pertubuhan Kewangan Islam Antarabangsa yang dianggotai Datuk Dr Mohd Daud Bakar yang juga Pengerusi Majlis Syariah di Bank Negara Malaysia.

“Tambahan lagi, AEON Credit sentiasa mengutamakan pelanggan dalam memberikan perkhidmatan menerusi kaedah dalam talian pada kadar terbaik dan mesra pengguna,” katanya.

Hadir sama, Pegawai Esekutif HelloGold, Robin Lee dan Pengurus Bahagian Kad Kredit, Faizul Hamzah.

Sementara itu, orang ramai yang berminat untuk mendapatkan pembiayaan secara mudah boleh memuat turun aplikasi HelloGold secara percuma di Google Play dan Apps Store.

-NFN-