RAWANG, 21 APR: Kerajaan Negeri meluluskan dua projek tebatan banjir bagi mengatasi masalah banjir kilat berlaku di Bandar Country Home dan kawasan sekitarnya.
Ahli Dewan Negeri Rawang, Gan Pei Nei, berkata dua projek itu adalah di Sungai Gong serta Sungai Bakau yang sedang berjalan dan dijangka siap sepenuhnya, pada November ini.
Bagaimanapun, katanya, berlaku sedikit kelewatan hingga menimbulkan masalah apabila hujan lebat mengakibatkan sistem sungai dan kolam takungan sedia ada gagal mencapai kapasiti sepatutnya.
“Itu sebabnya berlaku banjir kilat dan menimbulkan kesulitan kepada penduduk juga pengguna lalu lintas di kawasan berkenaan.
“Namun, saya sendiri akan memantau projek ini dan kita meminta jabatan berkaitan khasnya Jabatan Pengairan dan Saliran bagi menyegerakan segala kerja pembinaan projek mengikut jadual ditetapkan,” katanya kepada SelangorKini, di sini, semalam.
Pada 18 April lalu, berlaku banjir kilat di pasar Rawang seterusnya kawasan tol Rawang hingga Bandar Country Home akibat hujan lebat hingga menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas dalam tempoh lama di kawasan itu.
Pei Nei berkata, dua Sungai Gong dan Bakau adalah sungai utama yang selama ini tidak dinaik taraf tetapi dalam sistem tebatan banjir di DUN Rawang, kini sedang melalui proses terbabit.
Beliau berkata, pembangunan pesat di kawasan itu ditambah musim hujan ketika ini antara punca banjir kilat itu berlaku.
“Dengan hujan lebat, maka kuantiti air besar di Sungai Gong menyebabkan sistem sungai dan saliran sedia ada tidak dapat menampung hingga mengakibatkannya melimpah ke tepi jalan raya memenuhi kawasan dari tol Rawang ke Bandar Country Home,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, Taman Tun Perak juga antara kawasan yang kerap berlaku banjir akibat air dari Sungai Pajam yang melimpah keluar.
Katanya, pihaknya meminta JPS Gombak mengkaji semula sistem sungai di situ dengan mengambil kira pembangunan projek Lebuhraya Assam Jawa-Taman Rimba Templer (LATAR) yang dijalankan ketika ini hasil lawatan ke kawasan itu.
“Kita perlu buat kajian lebih menyeluruh sama ada sistem sedia ada perlu dinaik taraf atau terdapat cadangan lain supaya tidak lagi berlaku banjir kilat,” katanya.
-NFN-