Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tindakan KPKT nafi hak rakyat nikmati hasil negara

RAWANG, 21 APR: Tindakan tidak memadai Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membatalkan kelulusan projek kerajaan tempatan di kawasan Parlimen bukan Umno-Barisan Naional (BN) menafikan hak rakyat menikmati hasil negara dengan adil.

Ahli Dewan Negeri Rawang, Gan Pei Nei berkata, rakyat seharusnya menikmati kemudahan seperti dijanjikan itu tanpa mengira di kawasan Parlimen Umno-BN atau bukan sebagai pembayar cukai.

“Ini adalah perkhidmatan asas sepatutnya dinikmati rakyat tidak kira di Selangor (dikuasai PAKATAN) atau negeri lain di seluruh Malaysia kerana sebagai rakyat, kita berhak menikmati hasil daripada cukai dibayar.

“Saya rasa, ini satu tindakan berniat jahat dan bermotif politik,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

gan pei nei1Sehubungan itu, beliau mendesak Menteri KPKT, Tan Sri Noh Omar, supaya membatalkan keputusan itu dan menyalurkan peruntukan pembangunan seperti dijanji serta diluluskan ke semua kawasan sama rata juga tidak pilih kasih.

Katanya, rakyat sememangnya berhak menuntut kembali segala hasil dibayar daripada Kerajaan Persekutuan tidak terkecuali di kawasan Parlimen bukan Umno-BN.

“Kita tidak seharusnya membuat keputusan berdasarkan politik kepartian kerana rakyat yang menjadi mangsa. Kalau boleh, kita berpolitik secara profesional dan kalau nak lawan (bersaing) ketika berlangsung pilihan raya,” katanya.

Pada 19 April lalu, KPKT mengeluarkan arahan membatalkan semua kelulusan projek kerajaan tempatan di kawasan Parlimen yang gagal dimenangi Umno-BN berdasarkan pekeliling dikeluarkan Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Abu Bakar Johar, bertarikh 17 Mac lalu.

Arahan itu meliputi semua projek BP 1 yang menurut laman sesawang KPKT merujuk kepada projek infrastruktur berskala kecil di peringkat majlis tempatan.

Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat 9 Mac lalu untuk ‘penyelarasan peruntukan projek BP 1 2017’ yang dihadiri Noh bersama datuk bandar dan yang dipertua pihak berkuasa tempatan Malaysia.