Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Barang kitar semula sebagai ‘yuran’ larian

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 APR: Orang ramai dipelawa menyertai Larian Kitar Semula sempena Program Hari Tanpa Kenderaan dan Sambutan Hari Bumi 2017 di Dataran Kemerdekaan, pada 16 April ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, mereka yang berminat perlu membawa barangan kitar semula sebagai yuran larian berkenaan.

Katanya, ‘yuran penyertaan’ itu perlu dibawa ke tempat penghantaran di Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Tingkat 4, Wisma MBSA, sebelum 14 April ini.

SHAHRIN“Antara barangan kitar semula yang boleh digunakan sebagai yuran peryertaan adalah 10 naskhah surat khabar, tujuh botol plastik berpenutup (1 liter), 15 botol plastik berpenutup (500 ml), 15 tin Aluminium dan 15 bekas air kotak sebarang saiz.

“Mereka yang menetap di kawasan berjauhan dari Wisma MBSA boleh membawa barangan kitar semula pada hari program mulai jam 6 pagi untuk mendapatkan T-Shirt dan nombor,” katanya kepada Selangor Kini.

Larian itu meliputi jarak lima kilometer, manakala pendaftaran terbuka kepada warganegara Malaysia berumur 17 tahun ke atas.

Seramai 1,000 peserta terawal berpeluang memiliki t-shirt percuma selain layak menerima ‘sticker’ bernombor dan sijil penyertaan, manakala 1,000 peserta yang berjaya menamatkan larian bakal menerima medal.

Shahrin berkata, Larian Kitar Semula bertujuan memberikan pendedahan kepada peserta kepentingan menjaga dan memulihara alam sekitar.

“MBSA juga berharap program ini dapat memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti Shah Alam,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan, mereka yang berminat boleh hubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam di talian 012-646 3897 (Rohaizat), 014-923 2387 (Ilan) atau 014-259 0546 (Mahendran).

-NFN-