Categories
NASIONAL

Bersama sertai kempen #standupforourchildren

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 4 APRIL: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyeru seluruh masyarakat menyertai kempen #standupforourchildren yang digerakkan ABIM sebagai inisiatif memastikan kes kesalahan seksual kanak-kanak dapat diatasi.

Presiden ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, kempen itu adalah salah satu mekanisme untuk menterjemah objektif utama penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang diputuskan semalam menjadi kenyataan.

Katanya, ibu bapa perlu sentiasa mengikuti perkembangan semasa khususnya dalam dunia kepesatan teknologi komunikasi.

“Kecaknaan dalam perkara tersebut termasuklah pemantauan ibu bapa terhadap penggunaan media sosial anak-anak seperti WeChat yang direkodkan menyumbang kepada gejala rogol iaitu 138 kes dari keseluruhan 184 kes (75 peratus).

“Statistik dari PDRM menunjukkan 90 peratus kanak-kanak menjadi mangsa penderaan seksual kepada orang yang dikenali oleh kanak-kanak termasuk dari kalangan ahli keluarga mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, tindakan proaktif masyarakat termasuk melaporkan kes kepada pihak berkuasa amat penting kerana kajian menunjukkan pelaporan wajib berkaitan penderaan seksual kanak-kanak dapat mengurangkan kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak.

Justeru, bertepatan dengan semangat termaktub dalam Fasal 20 RUU ini yang menyatakan bahawa sekiranya seseorang individu tidak memberikan maklumat tersebut, ia adalah menjadi satu kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM5,000.

=EZY=