SHAH ALAM 1 APR: Pakatan Harapan (PAKATAN) mendesak bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan menjelaskan kenyataan beraninya dua tahu lalu bahawa kononnya harga barangan akan turun dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Desakan itu dibuat kerana kenyataan berkenaan dilihat bercanggah dengan realiti hari ini di mana pelbagai harga barangan meningkat ekoran pelaksanaan GST.
Malah, menurut PAKATAN, selain pelaksanaan cukai regresif itu, kehidupan rakyat juga tambah terbeban dengan pendapatan per-kapita yang tidak meningkat seiring peningkatan kos sara hidup.
“Kami mencabar pemimpin UMNO itu untuk tampil mempertahankan kenyataannya. Beliau juga perlu menjelaskan kepada rakyat mengapakah pelaksanaan GST gagal menurunkan harga barang seperti yang pernah dinyatakannya,” kata kenyataan itu, hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Ahli Parlimen Kampar (KEADILAN), Manivanan Gowin, Naib Presiden Amanah, Hasanuddin Mohd Yunus, dan Penolong Setiausaha DAP Selangor, Dr. Ong Kian Ming.
Selain Ahmad Maslan, menurut PAKATAN, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga pernah mengeluarkan kenyataan mempertahankan GST dengan menegaskan bahawa cukai membebankan itu menjadikan Malaysia “lebih sihat” dari segi kewangan.
Namun, kata PAKATAN, hutang kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Najib meningkat mencecah RM614 bilion setakat Februari 2016.
“Malah di bawah pentadbiran Najib juga, nilai mata wang ringgit turut dilaporkan turun ke paras terendah dalam tempoh 20 tahun lalu.
“Oleh itu, apakah pelaksanaan GST tidak mampu memulihkan keadaan ekonomi negara atau apakah Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan sendiri tidak mempunyai kewibawaan untuk mengurus ekonomi negara dengan baik?” soal mereka.
Walaupun kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) mengutip cukai GST sebanyak RM27.012 bilion pada 2015 dan RM38.5 bilion (2016), PAKATAN berkata, terdapat pemotongan besar-besaran terhadap dana pendidikan dan subsidi yang dinikmati rakyat.
“Kami menggesa rakyat menolak Kerajaan BN dan memberi mandat kepada Pakatan Harapan untuk mentadbir negara melalui Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang akan datang.
“Sekali lagi kami tegaskan Pakatan Harapan kekal dengan pendirian menolak pelaksanaan GST seperti mana disuarakan kami sebelum ini. Kami menolak mana-mana sistem percukaian zalim dan membebankan rakyat,” kata mereka.
=EZY=