Categories
EKONOMI NASIONAL

Ekonomi Selangor ibarat ‘suci dalam debu’

SHAH ALAM, 19 APRIL: Selangor mampu mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi mampan walaupun pertumbuhan ekonomi di peringkat nasional mengalami pertumbuhan lebih perlahan.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, hal itu ekoran Selangor sebagai negeri maju mempunyai kekuatan kewangan dan urus tadbir cekap.

“Jika Selangor terus beri insentif lebih baik daripada apa ditawarkan Kerajaan Persekutuan kepada pelabur, maka pelabur akan datang ke negeri itu.

“Selangor mempunyai kelebihan untuk menarik pelaburan dengan syarat urus tadbir Kerajaan Negeri kekal baik juga tiada rasuah dalam urusan antara swasta dengan kerajaan kerana ini faktor penting untuk ekonomi terus berkembang walaupun dikelilingi suasana ekonomi malap,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, keadaan itu berbeza dengan Kerajaan Persekutuan yang tidak menerapkan amalan urus tadbir bersih dan terpalit dengan pelbagai skandal, sekali gus menyebabkan pelabur asing semakin menjauhkan diri kecuali beberapa entiti berkepentingan.

dr_rosli_yaakob_Katanya, hal itu menjadikan Selangor kekal sebagai peneraju ekonomi negara, sekali gus sebagai antara penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Faktor bilangan tanah perindustrian yang banyak dan harga berpatutan berbanding pesaingnya, Pulau Pinang turut menyebabkan pelabur menjadikan negeri itu sebagai lokasi alternatif.

“Selangor adalah negeri paling maju di pantai barat, banyak tanah perindustrian berbanding Pulau Pinang yang tepu dan mungkin juga ada pelabur di Pulau Pinang tetapi apabila mendapati harga tanah perindustrian naik, pelabur itu akan akan menjadikan Selangor sebagai pilihan kedua,” katanya.

-AA-