Categories
SELANGOR

Flexi Parking MBSA terus dapat sambutan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 11 APR: Seramai 6,195 pengguna direkod mula menggunakan sistem Flexi Parking di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), setakat Mac lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, sistem berkenaan memanfaatkan sepenuhnya penggunaan telefon pintar bagi memudahkan pengguna, anggota penguatkuasa serta mempertingkatkan kualiti kecekapan perkhidmatan.

Katanya, ia juga selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Selangor sebagai Smart State menjelang 2025.

“Sistem Flexi Parking adalah inisiatif MBSA ke arah penambahbaikan pengurusan tempat letak kereta lebih efisien dan sistematik serta memudahkan proses pembayaran tanpa perlu mempamerkan kupon gores atau pas bulanan.

SHAHRIN“Ia juga diperkenalkan bagi mengurangkan masalah serta aduan pengguna berkaitan kesukaran mendapatkan kupon, salah menggores kupon serta lambakan buku kupon bagi pengguna yang sering berkunjung ke kawasan pentadbiran MBSA,” katanya kepada Selangor Kini.

Mula diperkenal awal tahun ini, aplikasi Flexi Parking boleh dimuat turun secara percuma di Android Play Store atau Apple Apps Store dan ia juga berfungsi secara dwi bahasa.

Shahrin berkata, orang ramai boleh membuat belian kredit secara talian terus melalui perbankan Internet menggunakan telefon pintar.

“Pengguna juga diberi makluman peringatan 10 minit lebih awal sebelum tamat tempoh letak kenderaan,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan berkenaan pelaksanaan sistem Flexi Parking ini, orang ramai boleh hubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan di talian 03-5510 5133 sambungan 1477, 1656, 1657, 1658.

-nR-