Categories
SELANGOR

Free Market tarikan baru karnival 3K Sepang

OLEH HAFIZAN TAIB

SEPANG, 19 APRIL: Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) Sepang mencipta kelainan dengan penganjuran ‘Free Market’ (Pasar Percuma) menyasarkan pengedaran barang makanan asas.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, penganjuran itu adalah usaha baik dan memberi nilai tambah kepada pengisian program berkenaan

“Saya lihat ‘Free Market’ sebagai alternatif menjadikan masjid sebagai pusat sehenti untuk aktiviti kemasyarakatan dan menepati hasrat juga objektif penganjuran program 3K yang antara lain menekankan pusat ibadah itu sebagai wahana program kebajikan serta kemasyarakatan,” katanya.

Program 3K daerah Sepang diadakan di Masjid Meranti, Kampung Pulau Meranti, di sini, pada 14 dan 15 April lalu dengan acara baru, ‘Free Market’ menyasarkan barangan makanan asas keperluan hidup seperti beras, sayur-sayuran, minyak masak serta pakaian.

Keseluruhan nilaian barangan dipasarkan bernilai RM10,000 hasil sumbangan ahli kariah dan penyumbang tempatan dengan 100 asnaf fakir miskin diraikan menerusi pemberian tiga barangan asas makanan kepada mereka.

Ahmad Yunus berkata, pihaknya menyambut baik kreativiti menarik itu dan mengharapkan ‘Free Market’akan dapat dijadikan program tambahan kepada pengisian penganjuran karnival 3K di setiap daerah.

Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri berterima kasih di atas segala perancangan usaha penganjur program, PAID Sepang, Pejabat Daerah dan Tanah Sepang serta pelbagai agensi menjayakan program berkenaan.

-AA-