Categories
SELANGOR

Free Market tarikan baru karnival 3K Sepang

OLEH HAFIZAN TAIB

SEPANG, 19 APRIL: Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) Sepang mencipta kelainan dengan penganjuran ‘Free Market’ (Pasar Percuma) menyasarkan pengedaran barang makanan asas.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, penganjuran itu adalah usaha baik dan memberi nilai tambah kepada pengisian program berkenaan

“Saya lihat ‘Free Market’ sebagai alternatif menjadikan masjid sebagai pusat sehenti untuk aktiviti kemasyarakatan dan menepati hasrat juga objektif penganjuran program 3K yang antara lain menekankan pusat ibadah itu sebagai wahana program kebajikan serta kemasyarakatan,” katanya.

Program 3K daerah Sepang diadakan di Masjid Meranti, Kampung Pulau Meranti, di sini, pada 14 dan 15 April lalu dengan acara baru, ‘Free Market’ menyasarkan barangan makanan asas keperluan hidup seperti beras, sayur-sayuran, minyak masak serta pakaian.

Keseluruhan nilaian barangan dipasarkan bernilai RM10,000 hasil sumbangan ahli kariah dan penyumbang tempatan dengan 100 asnaf fakir miskin diraikan menerusi pemberian tiga barangan asas makanan kepada mereka.

Ahmad Yunus berkata, pihaknya menyambut baik kreativiti menarik itu dan mengharapkan ‘Free Market’akan dapat dijadikan program tambahan kepada pengisian penganjuran karnival 3K di setiap daerah.

Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri berterima kasih di atas segala perancangan usaha penganjur program, PAID Sepang, Pejabat Daerah dan Tanah Sepang serta pelbagai agensi menjayakan program berkenaan.

-AA-

Categories
SELANGOR

Perluas hebahan Free Market, peluang lebih ramai menyumbang

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 13 JUN: Memberi sumbangan kepada golongan memerlukan bukan sahaja menjanjikan ganjaran pahala namun memberi kepuasan yang tidak dapat digambarkan bagi pemberinya.

Bekerja dalam industri fesyen, Sakinah Ramli 50, berkata dia seronok dan sentiasa teruja berkongsi barangan peribadinya dan keluarga bersama mereka yang kurang bernasib baik.

sakinah a“Saya memang selalu sertai aktiviti ‘free market’ dan bawa anak bersama supaya mereka juga dapat rasa keseronokan tangan yang memberi.

“Kami sumbangkan barang peribadi yang tidak lagi digunakan seperti pakaian, namun masih elok untuk dipakai. Rasa puas apabila barang itu habis orang ambil dalam masa empat minit,” katanya.

Sakinah adalah salah seorang daripada puluhan penyumbang dalam program Free Market Lembaga Zakat Selangor (LZS) di perkarangan ibu pejabat LZS, di sini, hari ini.

Sementara itu, pengunjung, Zaki Ahmad, 34, berharap aktiviti seumpama itu diberikan publisiti lebih meluas untuk mencapai objektif lebih besar.

“Saya rasa ramai yang tidak tahu aktiviti ini. Saya sendiri kebetulan lalu, berhenti dan lihat apa yang ada di sini.

“Kalau tahu, mungkin saya dapat menyumbang seadanya begitu juga dengan orang ramai di luar sana. Harap LZS lebih peka dalam memberi maklumat supaya lebih ramai penyumbang dapat membantu asnaf,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Agihan Free Market perlu diperlu ketat

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 13 JUN: Penganjuran Free Market Lembaga Zakat Selangor (LZS) satu usaha yang bagus dalam usaha membantu golongan asnaf namun kaedah pelaksanaannya perlu dipantau lebih ketat.

Ibu tunggal empat cahaya mata, Rozita Ishak, 55, berkata, dia yang hadir di perkarangan ibu pejabat LZS sejak pagi hanya berjaya mendapat sehelai tudung sahaja.

asnaf aKatanya, tiada pihak mengawal pengambilan barangan yang disumbangkan hingga warga tua sepertinya tidak mempunyai peluang.

“Kita mendengar arah, dia suruh ke tepi tetapi orang lebih muda akhirnya menyelinap dan mengambil semua barang. Tiada apa yang tinggal untuk kami.

“Orang biasa pun datang ambil barang kerana ia konsep terbuka. Ada juga orang Indonesia, malangnya asnaf tak dapat apa.

“Tetapi, saya bersyukur LZS ada usaha seperti ini. Sekurang-kurangnya dapat bantu orang susah seperti kami, alhamdulillah,” katanya.

Sementara itu, Badrul Hisham Hunimin, 39, memuji usaha LZS membantu golongan asnaf terutama dalam keadaan ekonomi yang tenat pada masa ini.

“Dengan adanya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), memang tak cukup untuk menampung keperluan kami suami isteri dan lima anak yang masih kecil.

“Jadi, bagus ada inisiatif seperti hari ini. Saya memang fokus mendapatkan keperluan anak seperti pakaian,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Free Market serah zakat terus kepada asnaf

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 13 JUN: Free Market anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjaya menarik lebih 500 asnaf dan puluhan penyumbang barangan keperluan secara percuma.

Pegawai Acara dan Perhubungan Komunitinya, Siti Hajar Abdul Rahim, berkata konsep Free Market juga memberi peluang kepada pembayar zakat menyampaikan terus sumbangan kepada golongan memerlukan.

Free Market Lembaga Zakat Selangor (16)“Hari ini, kita juga membuka peluang kepada orang awam mendapatkan barangan yang disumbangkan, namun keutamaan semestinya kepada golongan asnaf.

“Dengan sambutan yang menggalakkan, Insya Allah kita akan bawa Free Market ini ke seluruh daerah di Selangor,” katanya kepada Selangor Kini.

Program itu berlangsung di ibu pejabat LZS di Seksyen 13, di sini dan antara barangan yang disumbangkan termasuk pakaian, kasut dan peralatan elektrik.

Tahun lalu, LZS pernah bekerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan pertubuhan Free Market untuk penganjuran acara sama.

wakil zakat aMengulas aduan golongan asnaf yang tidak berpuas hati dengan konsep terbuka kepada orang awam, Hajar berkata, perkara itu akan diperbaiki pada masa akan datang.

“Kita ambil maklum dan mungkin akan adakan konsep lebih tertutup pada masa akan datang.

“Kita juga akan pastikan lebih ramai staf LZS bertugas bagi mengawal keadaan supaya lebih tersusun dan adil kepada semua pihak terutama asnaf,” katanya.

-NFN-