Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Proses akhir kemas kini agihan bantuan BLB

SHAH ALAM, 19 APRIL: Pengagihan bantuan kepada pesawah yang terkesan ekoran serangan wabak Hawar Daun Bakteria (BLB) dilakukan secara berperingkat, kata Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib.

Beliau berkata, tidak timbul sebarang isu kononnya pengagihan tidak disalurkan secara adil memandangkan senarai pengusaha tani yang terjejas masih lagi dalam proses kemas kini.

“Berdasarkan bancian Jabatan Pertanian, senarai lot yang terkena serangan BLB sudah dikenal pasti berserta nama pengusaha untuk diedarkan kepada ketua blok bagi mengesahkan pengusaha sebenar yang mengusahakan lot berkaitan.

“Ketua blok mengemukakan senarai dikemas kini kepada Jabatan Pertanian berserta dokumen salinan kad pengenalan untuk proses pembayaran. Senarai yang dikemas kini dijangka siap pada 21 April ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, selepas proses kemas kini selesai, Jabatan Pertanian akan mengemukakan senarai kepada Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) untuk proses pembayaran bantuan pada kadar RM960 mengikut lot.

ZAIDY TALIB (2)“Majlis penyerahan cek akan dibuat secara berperingkat oleh Kerajaan Negeri, namun sebelum bantuan diberikan, Kerajaan Negeri sudah mengedarkan input baja mikrob sebanyak 2,000 botol untuk 2,000 lot sawah terlibat dan 2,600 racun rumpai bagi 2,600 lot sawah.

“Jumlah peruntukan terlibat dianggarkan RM942,000,” katanya.

Untuk makluman, sektor pertanian adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, namun keprihatinan Kerajaan Negeri melangkaui fungsi sebenar dasar berkebajikan itu.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan rungutan pengusaha tani yang masih belum menerima bantuan BLB walaupun peruntukan RM8.5 juta sudah diluluskan di peringkat negeri.

-AA-