Categories
SELANGOR

Gamuda Land sedia bekerjasama elak banjir berulang

OLEH LIZAWATI MADFA

RAWANG, 23 APRIL: Gamuda Land (Gamuda) menyatakan kesediaannya menjayakan sebarang usaha bagi mengelak kejadian banjir di Kampung Sungai Serai berulang.

Menerusi kenyataan media, jurucakap syarikat pemaju itu berkata, pihaknya sudah mematuhi segala kaedah dan garis panduan ditetapkan pihak berkuasa dalam membangunkan pembangunan di kawasan itu.

Katanya, ia termasuk pelaksanaan Pelan Pengawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP) dengan membina lembangan mendapan, ‘slit fences’, empangan penyekat dan kolam takungan banjir bagi membantu mengurangkan banjir di kampung berkenaan.

“Isu banjir sudah dilaporkan di kawasan itu sejak beberapa tahun lalu.

“Jika pihak berkuasa mempunyai rancangan untuk membangunkan kawasan berkenaan dengan sistem saliran baru, pihak pemaju terlibat termasuk Gamuda Land sedia memberikan kerjasama sepenuhnya,” katanya.

Terdahulu, penduduk mendakwa banjir lumpur melanda mereka baru-baru ini disebabkan projek pembangunan Gamuda di kawasan berkenaan.

GAMUDAMereka menuntut Gamuda bertanggungjawab atas musibah itu dan tidak lepas tangan.

Mengulas desakan itu, jurucakap syarikat itu berkata, kejadian banjir dilaporkan berpunca daripada kegagalan Sungai Serai menampung purata hujan lebat luar biasa pada hari kejadian.

“Bagaimanapun, sebagai pemaju bertanggungjawab, Gamuda sentiasa prihatin dengan kesejahteraan dan kebajikan masyarakat yang terjejas akibat banjir kilat itu.

“Kami segera mengerahkan pekerja untuk membantu penduduk membersihkan jalan berlumpur, mengeluarkan pokok tumbang yang menghalang jalan raya, membersihkan rumah serta memindahkan perabot dan sebagainya,” katanya.

=EZY=