Categories
SELANGOR

Langkah sewajarnya sedang diambil, penduduk diminta bertenang

OLEH LIZAWATI MADFA

RAWANG, 23 APRIL: Penduduk Kampung Sungai Serai diminta bertenang dan memberi peluang pihak berkuasa tempatan dan Kerajaan Negeri serta pemaju mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung isu banjir, baru-baru ini.

Penyelaras DUN Kuang, Salasiah Disa berkata, pihak berkenaan juga sudah mula turun padang dan mula merencana tindakan selanjutnya bagi mengelak musibah sama berulang.

Katanya, semua pihak terlibat juga bertindak mengikut bidang kuasa masing-masing dalam memastikan kesejahteraan penduduk kampung terpelihara.

“Semua pihak seperti Exco Kerajaan Negeri, agensi dan jabatan berkaitan serta pemaju Gamuda Land segera bertindak menghulur bantuan dan mengambil langkah sewajarnya.

“Jalan penyelesaian terbaik sedang diusahakan, diharap penduduk dapat bertenang dan yakinlah bahawa Kerajaan Negeri bersama penduduk kampung,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, tinjauan SelangorKini di kawasan berkenaan ‘terserempak’ kelibat Salasiah dan Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari turut meninjau perkembangan di sana.

Pada 16 April lalu, Kampung Sungai Serai dilimpahi banjir lumpur sehingga menyebabkan lebih 15 rumah terjejas.

Dua hari selepas itu, kejadian banjir berlaku lagi dan menyebabkan hampir 40 rumah ditenggelami air.

=EZY=